PUTRAJAYA 28 Dis. – Penambahbaikan Agenda Bumiputera menerusi nafas baharu oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta disusuli dengan pemantauan mantap diharap menjadi mekanisme berkesan dalam memastikan untung nasib kaum itu terus terbela.
Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dalam suasana politik Malaysia yang semakin kompetatif, kepercayaan rakyat pastinya diberikan kepada mana-mana pihak yang memiliki dasar mantap dan mereka juga berkemampuan melaksanakan dasar berkenaan.
“Jadi, penegasan (Presiden Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung Agenda Bumiputera malam ini amat melegakan dan kita harap tokoh-tokoh penting akan dilantik untuk memacu agenda ini supaya lebih berkesan.
“Ini kerana orang Melayu bumiputera meletakkan harapan kepada parti ini sebagai menjamin masa depan mereka,” katanya.
Beliau ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Pada masa sama kata Mustapa yang hadir sebagai pemerhati, penekanan Muhyiddin tentang kemakmuran dikongsi bersama atau ‘shared prosperity’.
Perkara itu tambahnya, adalah konsisten dalam perjuangan bumiputera dan turut mengambil kira kaum-kaum lain.
“Apa-apa pun ini adalah untuk kita bersama memajukan negara supaya menjadi negara sebagai sebuah gergasi di rantau ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










