DUNGUN 7 Dis. – Sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Pajero yang dipandu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Roslee Daud berpusing beberapa kali sebelum terbalik selepas cuba mengelak lembu melintas dalam nahas di Kilometer 20 Jalan Dungun – Bukit Besi dekat sini malam tadi.
Akibat kemalangan pukul 11.35 malam itu, Roslee, 58, cedera pada tangan kanan dan belakang sebelum dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharudin Abdullah yang mengesahkan kejadian itu berkata, nahas berlaku sewaktu Roslee sedang memandu kenderaan jenis Mitsubishi Pajero dari Bukit
Besi menuju Bandar Dungun.
Beliau memberitahu, setiba di lokasi kejadian, ADUN Bukit Besi berkenaan cuba mengelak seekor lembu yang secara tiba-tiba hendak melintas jalan.
“Yang Berhormat Roslee cuba mengelak daripada melanggar haiwan tersebut menyebabkan kenderaan yang dipandunya hilang kawalan lalu berpusing beberapa kali sebelum terbalik ke bahu jalan,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










