Adik, abang temui ajal bersama di Sungai Kelantan - Utusan Malaysia

Adik, abang temui ajal bersama di Sungai Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS 29 Dis. – Dua kanak-kanak yang juga merupakan adik beradik yang dilaporkan hilang di Sungai Kelantan, berhampiran Kampung Hujung Galok, Chetok di sini petang tadi, ditemukan mati lemas malam ini.

Dua kanak-kanak tersebut, Muhammad Zulfitri Nor Zahri, 11, dan adiknya Nur Afifah, 8 dikatakan terjatuh ke dalam sungai itu kira-kira pukul 5.45 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Mohd. Nazri Ab. Wahab berkata, sebaik sahaja menerima maklumat, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) segera melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, mayat Muhammad Zulfitri ditemukan terdampar di dasar sungai, tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan hilang pada pukul 9.55 malam manakala mayat Nur Afifah pula ditemukan lima minit kemudian di sekitar itu juga.

“Sebelum itu, kita telah membuat keputusan untuk menangguh seketika operasi pada pukul 7.30 malam akibat cuaca gelap.

“Namun selepas menganalisa risiko, kita ambil keputusan untuk menyambung semula SAR pada pukul 9 malam sebelum berjaya menemukan kedua-dua mangsa,” katanya.

Mohd. Nazri memberitahu, mayat dua mangsa tersebut telah didiserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×