SUNGAI PETANI 27 Dis. – Seramai 50 peserta yang terdiri orang kurang upaya (OKU), pelajar sekolah rendah dan menengah di daerah Kuala Muda telah menyertai program gunting rambut percuma menjelang sesi persekolahan di Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Jalan Anggerik, Bandar Aman Jaya, Sungai Petani di sini, kelmarin.
Penyelia pertubuhan itu, Ida Suhaila Husain berkata, pihaknya mengalu-alukan program berkenaan khususnya, penganjur, Muhammad Farhan Shafie yang bertungkus-lumus membawa seramai 15 orang tukang gunting di PPDK tersebut.
“Terima kasih kepada semua pihak kerana memberi kerjasama, termasuk Pengerusi PPDK daerah Kuala Muda, Mohamad Mohaidin Hashim yang hadir memeriahkan Program Amal Sentuhan Kasih Bersama Anak-Anak OKU Saerah Kuala Muda 2018.
“Selain gunting rambut, pihak penganjur melalui Kelab Advokasi Diri juga tidak ketinggalan menyampaikan kotak makanan berupa pizza secara percuma kepada setiap peserta,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Menurutnya, usaha membantu OKU yang berada di PPDK adalah tanggungjawab bersama.
“Ahli kelab memulakan aktiviti menggunting rambut bermula pukul 10 pagi hingga pukul 2 petang. Acara bertambah meriah apabila ramai OKU yang berada di PPDK ini berpeluang membuat persembahan dengan menyampaikan beberapa buah lagu yang mempersonakan bersama anggota krew MBM Entertainment dan Unikaryawan Production,” kata Ida Suhaila lagi.
Sementara itu, Seorang OKU, Irfan Khalis Khairul Nizam, 17, dari Bukit Banyan ketika ditemui melahirkan perasaan gembira kerana berpeluang menggunting rambut secara percuma bersama kawan-kawan dan mendapat sumbangan makanan. – UTUSAN ONLINE










