PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) mengambil langkah tegas terhadap 43 ahli gabungannya dengan melakukan pemecatan serta-merta pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif yang dilakukan menerusi undian sulit kelmarin.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon (gambar kecil) kepada media pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-67 semalam yang menjelaskan, tindakan tersebut dibuat berlandaskan Statut FAS kerana mengadakan Kongres Luar Biasa (EGM) yang tidak sah sebelum ini.
“Sejurus selepas mereka mengadakan EGM (tidak sah) beberapa minggu yang lalu, kita telah mengeluarkan surat usul pemecatan dan berdasarkan maklum balas, kita sudah mengambil tindakan memecat 43 daripada 52 ahli gabungan.
“Kita sudah melaksanakan perkara tersebut semalam (kelmarin) pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif. Pemecatan itu adalah berlandaskan Statut FAS. Kesemua 43 ahli gabungan tersebut tidak memberi maklum balas kepada FAS selepas diberi tempoh seminggu.
“Mereka tidak mahu bekerjasama atau pun membela diri kerana mengadakan mesyuarat secara terang-terangan serta melanggar Statut FAS,” katanya selepas AGM itu di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur semalam.
Kemelut dalaman FAS berlaku setelah 52 daripada 96 ahli gabungan bertindak melakukan EGM secara haram November lalu atas dakwaan FAS di bawah pimpinan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah menafikan hak segelintir ahli gabungan tersebut.
Bagaimanapun, tidak sampai 24 jam EGM itu diadakan, Tengku Amir mengeluarkan kenyataan bahawa baginda tidak mengiktiraf sebarang keputusan dan pemilihan ahli jawatankuasa baharu. Ini kerana, ia tidak memenuhi Artikel 30 yang termaktub dalam Statut FAS.
Dalam perkembangan sama, Johan berkata, pihaknya masih meneliti surat tunjuk sebab serta tindakan yang akan diberikan kepada baki ahli gabungan yang turut terlibat pada EGM itu.
Katanya, FAS telah bersetuju melantik Tengku Amir serta Timbalan Presiden FAS, Datuk Seri Shahril Mokhtar sebagai pemegang amanah yang bertanggungjawab terhadap aset-aset FAS.










