31 pekerja syarikat binaan di Papua ditembak mati - Utusan Malaysia

31 pekerja syarikat binaan di Papua ditembak mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA – Sebanyak 31 pekerja sebuah syarikat pembinaan jalan raya dan jambatan dipercayai mati ditembak kumpulan pemberontak di Papua.

Menurut media Indonesia, para pekerja syarikat PT Istaka Karya itu ditembak mati kumpulan bersenjata ketika sedang melakukan kerja-kerja pembinaan jambatan di kawasan pergunungan di Kabupaten Nduga, Papua, kira-kira jam 11 malam tadi.

Ketua Hubungan Masyarakat Polis Papua, Ahmad Mustofa Kamal dipetik media Indonesia berkata, para pekerja yang  sedang melakukan kerja-kerja pembinaan jambatan di Sungai Yigi dan Sungai Aurak itu dilaporkan menimbulkan kemarahan kumpulan itu kerana telah bertindak mengambil gambar anggota kumpulan berkenaan.

Beliau berkata setakat 9 pagi tadi, semua mangsa yang terbunuh itu belum dikeluarkan dari kawasan kejadian.

Sementara itu Presiden Indonesia, Joko Widodo dipetik siaran televisyen tempatan berkata, pihak pemerintah masih menyiasat kes berkenaan.

“Kawasan itu belum terdapat signal telekomunikasi, tapi kawasan itu sememangnya belum aman (terdapat ramai pemberontak), ” katanya.

Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat Indonesia, Basuki  Hadimuljono berkata setakat 11 pagi ini, belum terdapat pengesahan berhubung kejadian itu.

“Pihak tentera telah ke kawasan berkenaan bagi menyiasat laporan itu, namun kami ingin tegaskan kejadian sedemikian tidak akan menghentikan projek pembangunan infrastruktur di Papua,” katanya.

Kejadian tembak itu dipercayai dilakukan kumpulan pemberontak  Organisasi Papua Merdeka (OPM).

OPM adalah organisasi yang diwujudkan sejak 1965 bagi mendapatkan kemerdekaan wilayah Papua daripada Indonesia. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN