2 warga emas lakar sejarah - Utusan Malaysia

2 warga emas lakar sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 13 Dis. – Dua warga emas, Mohd. Nor Rani, 65, dan Wan Muni Wan Muda, 75, hari ini melakar sejarah tersendiri apabila muncul pelajar terbaik sempena majlis Haflu Al Takrim Al-Sanawi 2018 Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.

Mohd. Nor Rani, dari Kampung Kubang Parit dan Wan Muni dari Bandar Marang ma­sing-masing merangkul Anugerah Kulliyyah Al-Furqan bagi kategori lelaki dan perempuan.

Mohd. Nor yang merupakan bekas Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) secara khususnya dianugerahi Imam Ibnu Tohhan Al-Andalusiy manakala Wan Muni pula mendapat Sheikhah Ummu Sa’ad Najm Al-Misriyyah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mereka adalah antara 616 pelajar KQT yang diraikan hari ini dalam majlis Haflu Al-Takrim al-Sanawi 2018 kali ini dan daripada jumlah itu, 555 orang merupakan penerima Sijil Ulum al-Quran manakala selebihnya iaitu 61 orang adalah penerima Sijil Dirasat Quraniah.

Perasmian majlis graduasi itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi ne­geri, Satiful Bahri Mamat.

Dalam pada itu, Wan Muni pernah suatu ketika bertarung dengan maut setelah diserang angin ahmar pada 2007 menyebabkannya lumpuh separuh badan sebelum dirawat di Hospital Tawakkal di Kuala Lumpur.

Namun disebabkan terlalu meminati ilmu al-Quran selain semangatnya yang tidak pernah pudar, apatah lagi tidak mudah berputus asa, ibu kepada lima anak itu kembali bangkit menjadi pelajar di KQT sejak tahun 2012 hingga 2017.

“Bagi saya, penyakit kronik yang saya hidapi termasuk diserang angin ahmar hingga lumpuh separuh badan, malah keadaan saya ketika itu dah macam mayat, tidak sekali-kali menghalang saya untuk terus belajar serta mendalami al-Quran hingga ke tahap ini.

“Ketika lumpuh dulu, saya hanya berdoa kepada Allah agar selamatkan saya. Selama 17 hari saya dirawat di Hospital Tawakkal dan seterusnya mengambil masa selama tiga tahun untuk kembali pulih,” katanya yang mempunyai 25 orang cucu dan empat cicit.

Menurutnya, setelah sembuh, beliau memasuki KQT sebagai pelajar dan berkat kegigihannya sambil mendapat dorongan padu daripada suami tersayang, Endut Mohd. Ali, akhirnya Wan Muni berjaya menggenggam impiannya untuk berjaya dalam ilmu al-Quran.

Pada masa ini, Wan Muni bersama suami merupakan pengasas merangkap penge­tua Pusat Darul al-Quran Marang yang kini mempunyai lebih 100 pelajar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini