1001 makna kepada hidup rakyat - Utusan Malaysia

1001 makna kepada hidup rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERASAAN dan suara hati rakyat bagaikan senada jika dirisik dan diperhatikan dalam bualan mereka dalam media sosial, gerai, restoran, tempat kerja, kampus dan juga ketika sembang santai bertemu di majlis kenduri kahwin.

Resah, bimbang, tidak puas hati dan marah melihatkan apa yang berlaku sepanjang enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Sesete­ngah mereka tidaklah sedar atau faham sangat bahaya yang bakal mengundang daripada ratifikasi ICERD atau konsep sosialis Malaysian Malaysia.

Rata-rata mereka tidak ber­puas hati dengan keadaan ekonomi, anak-anak mereka menganggur, Amanah Ikhtiar Malaysia mahu ditutup, hutang PTPTN perlu dibayar, ada yang hilang kerja, harga getah turun, harga kelapa sawit jatuh, perniagaan merosot, nilai Ringgit rendah sehingga syarikat berhenti import dan sentimen agama dan kaum semakin panas. Suhu rasis semakin me­ningkat terus meluap-luap.

Terbaharu, ekonomi negara dijangka bakal lebih perlahan tahun depan sekitar empat peratus. Hampir tiada berita gembira dan mententeramkan jiwa rakyat dalam Bajet 2019. Tambahan pula ramai ketua keluarga pun sudah hilang kerja, pegawai kerajaan pun ada yang kini bekerja di restoran tepi lebuh raya. Ada yang membawa teksi. BR1M pula bakal dihentikan, malah kerajaan bagaikan puas hati mengumumkan penamatan 41,800 bantuan kebajikan.

Lepasan institusi pengajian tinggi sudah pun dikejut dan terasa peritnya akibat langkah kerajaan yang tidak konsisten berkaitan bayaran balik PTPTN. Semua ini jauh meleset daripada Janji 100 Hari Manifesto Pakatan Harapan (PH).

Bukan sahaja ‘manifesto bukan janji’ kata Perdana Menteri, malah harapan kakitangan awam naik gaji tahunan ‘dipujuk’ dengan kata “kenaikan gaji punca kos sara hidup naik”. Orang Melayu pula dihenyak lagi dengan label ‘rasuah jadi nilai hidup’. Mereka seolah-olah ditolak hingga ke dinding.

Jika menjumlahkan hutang negara ada yang dikira dua kali untuk menegakkan bohong ‘hutang negara lebih RM1 trilion’, delegasi ke luar negara dengan kos berjuta-juta Ringgit pulang dengan tangan kosong (malah berhutang dengan Jepun), eko­nomi semakin perlahan, banyak aset penting negara dan tanah hendak dijual, peluang kerja tidak bertambah, dan tidak pandai membaca titik perpuluhan dalam Parlimen, cukuplah itu menggambarkan kerajaan ini ‘terkejut’ menang PRU-14 dan baru mencuba-cuba urus tadbir. “Hancus” kata rakyat.

Sebab itu, Perhimpunan Aman Bantah ICERD dari negeri ke negeri menyaksikan kemarahan rakyat bukan sekadar me­ngenai ICERD dan benci Malaysian Malaysia DAP yang mengusik jiwa orang Melayu, namun keba­nyakannya muak dengan politik dendam yang berpanjangan, leka menyalahkan musuh politik dan terlalai dari meningkatkan kecekapan urus tadbir negara. Apakah ini kerajaan half-past six atau ‘setengah masak’?

Kerajaan bagaikan tidak pe­duli derita rakyat yang hilang kerja, ekonomi keluarga yang semakin merosot dan terbeban. Janji 100 Hari PH tidak dapat mereka lupakan, sudah me­nyampah mereka hendak menyebutnya. Umpama kata orang-orang tua, “selalu cakap bohong, lama-lama mencuri”. Rakyat juga menilai tindakan kerajaan menjual syarikat dan aset syarikat milik negara. Malah mereka dapat menelah siapa tamak dan sudah menanti untung apabila membeli aset-aset itu. Persoalan dalam minda rakyat kini, apa nasib keluarga dan cucu cicit mereka nanti? Resah ini sudah menjadi gelombang yang sedang mula bergelora.

Oleh itu, perhimpunan aman esok (hari ini) adalah bukan sekadar bersyukur untuk menolak ICERD selama-lamanya, tetapi rakyat berpadu suara dalam pertemuan esok sebagai manifestasi gelombang keresahan rakyat.

Gelombang putih rakyat berhimpun ini kerana hidup yang semakin tertekan. Orang Me­layu bersuara mengenai tindakan Kerajaan PH dalam menjaga kepentingan Islam dan Melayu pada masa ini dan akan datang.

Gelombang Putih itu membara kerana kerajaan kini dilihat longlai dalam menangani provokasi dan tindakan yang dibuat oleh sesetengah pemimpin PH yang bukan saja dilihat memperlekehkan Melayu dan Islam tetapi juga mahu mengetepikan apa yang dipersetujui dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN