10 tahun pandu Ferari tanpa cukai jalan - Utusan Malaysia

10 tahun pandu Ferari tanpa cukai jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK – Sebuah kereta mewah jenis Ferrari tanpa cukai jalan selama 10 tahun merupakan antara yang berjaya dikesan dalam Op Khas Bersepadu Genting di Plaza Tol Gombak, Lebuh Raya Kuala Lumpur- Karak (KLK), di sini yang bermula sejak semalam.

Operasi bersepadu yang dilakukan selama dua hari itu turut melibatkan kerjasama daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Gombak, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen dengan kekuatan 15 pegawai serta 88 orang anggota.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shariat berkata, operasi yang dilakukan bermula pagi semalam itu menumpukan kepada kenderaan seperti kereta mewah serta motosikal berkuasa tinggi yang dikesan menggunakan lebuh raya berkenaan sebagai litar perlumbaan terutamanya ketika hujung minggu.

“Pada masa sama, operasi berkenaan juga dilakukan bagi mengesan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh kenderaan dagangan serta penumpang seperti lori dan bas.

“Sebanyak 94 saman membabitkan kesalahan lesen memandu, 31 saman kerana tiada cermin sisi, kesalahan membabitkan cukai jalan sebanyak 54 saman, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi 90 saman, 12 saman kesalahan tali pinggang keledar, enam kesalahan menggunakan lorong kecemasan, 15 saman bagi kesalahan lesen P dan L serta 49 saman kerana lain-lain kesalahan,” katanya pada satu sidang akhbar sebaik operasi tamat tengahari tadi.

Menurut Azman, seramai lapan lelaki turut ditahan kerana kesalahan membabitkan dadah, memandu secara berbahaya, memandu di bawah pengaruh alkohol serta menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Turut ditahan dalam operasi kali ini adalah seorang wanita warga Vietnam yang gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah ketika pemeriksaan dilakukan.

“Pihak JPJ turut mengeluarkan sebanyak 217 keping saman membabitkan pelbagai kesalahan. Manakala pihak AADK telah melakukan ujian air kencing terhadap 75 individu dan 16 daripada mereka ditahan selepas didapati positif dadah,” katanya.

Mengulas lanjut, Azman berkata, pihaknya sedia maklum berhubung tindakan segelintir pihak yang menggunakan Lebuhraya KLK  sebagai laluan utama ‘permainan’ mereka dan pihaknya telah melakukan operasi sedemikian dari semasa ke semasa bagi mengekang masalah tersebut.

“Pemeriksaan yang dilakukan secara berkala sebegini diharap dapat memberi impak kepada pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan,” tegas beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN