KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) secara rasmi melantik Yusri Che Lah sebagai Ketua Jurulatih The Red Warriors bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, keputusan tersebut diambil selepas mengadakan perbincangan dengan jurulatih kelahiran Perlis itu pada 12 November lepas.
“Yusri bersetuju untuk menyambung kontrak setahun lagi sehingga 2019 bersama pasukan The Red Warriors yang mana pada musim ini dia dipertanggungjawab mengendalikan pasukan sebagai pemangku jurulatih.
“Ia satu keputusan positif (kepada pasukan) memandangkan kita mempunyai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk kembali ke Liga Super musim 2020,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Musim ini Yusri diberikan kepercayaan mengemudi TRW sebagai pemangku jurulatih sebanyak dua kali selepas KAFA memecat jurulatih dari Thailand, Sathit Bensoh pada awal musim dan peletakan jawatan jurulatih dari Syria, Fajr Ibrahim pada pertengahan musim ini. – Bernama










