Dua kumpulan rock terkenal tanah air, XPDC dan May bakal berkongsi pentas dalam Konsert Metal Return 1.0 Live yang akan berlangsung di Stadium Perak, Ipoh, Perak pada 15 Disember depan.
Vokalis kumpulan May, Mus yang ditemui pada sidang akhbar konsert berkenaan baru-baru ini tidak dapat menyembunyikan keterujaannya sementelah sudah terlalu lama tiada penganjuran konsert besar di Ipoh yang merupakan kampung halamannya.
“Konsert kali ini memang cukup istimewa. Pertama, May akan bergabung dengan XPDC. Rasanya sudah terlalu lama kami tidak berkongsi pentas sama. Kedua, konsert ini diadakan di Ipoh yang merupakan kampung halaman anggota kumpulan May.
“Sebelum ini, kumpulan May memang biasa melakukan persembahan pentas di Ipoh, cuma Konsert Metal Return 1.0 Live sebuah persembahan berskala besar. Sebenarnya sudah lama tiada sebuah konsert besar di Ipoh, saya yakin peminat juga tidak sabar untuk menyaksikan persembahan kami,” tutur Mus.
Kumpulan May dianggotai oleh Mus selaku vokalis, Abu (gitar), Yuss (bass) dan Man (drum). Kumpulan XPDC pula dianggotai oleh Ali (vokalis), Izo (gitaris), Eddie (bass), Lola (drum) dan Arif (gitar).
Biarpun terdapat dua kumpulan XPDC, satu lagi menampilkan Mael sebagai vokalis, tegas Ali tidak akan timbul isu berbangkit mahupun kekeliruan buat peminat.
“Peminat setia XPDC memang tahu dan dapat membezakan XPDC yang menggunakan saya sebagai vokalis. Jika mereka datang pada konsert di Ipoh, jelas peminat mahu menonton saya sebagai vokalis XPDC.
“Jadi, tidak timbul sebarang kontroversi atau isu dengan pihak XPDC yang satu lagi. Sebab itu, kami mengadakan sidang akhbar supaya perkara ini boleh dihebahkan agar peminat lebih jelas,” ujar Ali yang akan turut mendendangkan lagu baharu kumpulan berkenaan pada konsert tersebut.
Menurut wakil penganjur Lady Boss, Nithianandan atau Nathan, 44, berkata, idea untuk menganjurkan konsert itu timbul apabila terdapat peminat meluahkan harapan untuk menyaksikan dua kumpulan legenda rock berkenaan beraksi dalam satu pentas yang sama.
XPDC dan May mempunyai kelompok peminat tersendiri, justeru Nathan percaya persembahan mereka akan mengembalikan semula nostalgia kepada peminat yang terdiri daripada pelbagai bangsa.
“Kami yakin kumpulan May dan XPDC bakal menggegarkan stadium pada malam itu dengan persembahan bertenaga.
“Mereka mempunyai kelompok peminat yang besar dan kita percaya ramai yang merindui persembahan mereka di pentas mega sedemikian.
“Andai konsert itu mendapat sambutan, tidak mustahil kami akan mengadakan konsert yang sama di negeri lain pula pada tahun depan,” ujar Nathan.
Tambah pihak penganjur, pelbagai acara turut diadakan di tapak konsert bermula pukul 12 tengah hari, manakala konsert dijadual berlangsung pukul 9 malam. Buat peminat, tiket konsert berharga RM60, RM95 dan RM150 (VIP) telah mula dijual.










