Waytha Moorthy terus didesak letak jawatan - Utusan Malaysia

Waytha Moorthy terus didesak letak jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI 22 Nov. – Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Merbok hari ini membuat laporan polis terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berikutan isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang menimbulkan pelbagai polemik.

Ketuanya, Hapsoh Ahmad berkata, pihaknya turut mendesak Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memecat P. Waytha Moorthy sebagai menteri di jabatan berkenaan.

“Isu ICERD yang dicetuskan oleh menteri perpaduan itu dilihat mengakibatkan perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.”

“Kita mendesak supaya jawatan Waytha Moorthy dilucutkan berkaitan dengan video wawancara Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) itu di Belanda kira-kira 10 tahun lalu, yang kembali tular baru-baru ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Balai Polis Sungai Petani di sini, hari ini.

Menurutnya, dalam wawancara itu, Waytha Moorthy mendakwa kononnya masyarakat India di Malaysia didiskriminasi di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Waytha Moorthy turut memfitnah kononnya 10,000 kuil dirobohkan dan hak bukan Melayu, dan rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam dinafikan di negara ini.

“Menerusi video berdurasi selama dua minit 39 saat itu, Waytha Moorty menggambarkan seolah-olah negara menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik selain kerajaan BN melakukan penindasan kepada kaum dan penganut agama lain,” katanya.

Hapsoh berkata, Wanita UMNO Merbok percaya ucapan Waytha Moorthy dalam video itu berniat menghasut, membangkit rasa benci, penghinaan dan perasaan tidak suka kepada kerajaan BN.

“Pada masa yang sama, ia menimbulkan ketegangan antara kaum seterusnya mengancam keselamatan negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu Waytha Moorty disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 atau mana-mana undang-undang sedia ada yang berkaitan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, setakat ini, pihaknya menerima satu laporan berhubung isu berkenaan setakat ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN