Waytha diberi amaran - Utusan Malaysia

Waytha diberi amaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Nov. – Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pembangkang hari ini mengecam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy yang mendakwa Malaysia melakukan pelanggaran hak asasi manusia termasuk mendiskriminasi hak kaum India.

Susulan itu laporan polis dibuat di seluruh negara dengan mendesak menteri tersebut tidak sesekali menyentuh isu sensitif membabitkan hal ehwal agama serta perpaduan di negara ini.

Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) mendesak kerajaan menghentikan segala cubaan yang boleh membakar api kemarahan rakyat dengan menyentuh isu-isu sensitif se­kali gus merosakkan perpaduan negara.

Pre­sidennya, Abdul Rani Ku­­lup Abdullah berkata, dua isu kontroversi iaitu melibatkan pelaksanaan Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan klip video memaparkan Waytha Moorthy memburukkan negara membangkitkan kema­rahan rakyat.

“Rakyat hidup dalam keada­an aman damai. Mengapa sekarang cuba membangkitkan ke­marahan itu dengan mera­tifikasi ICERD? Semua bangsa hidup tanpa ada masalah. Yang bermasalah cuma segelintir pemimpin politik yang biadab.

“Dalam hal ini saya memuji Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memahami bahawa isu ICERD itu mengguris perasaan rakyat terutamanya Melayu dan me­ngatakan mustahil bagi melaksanakannya,” katanya selepas membuat laporan polis bersama enam NGO lain di sini hari ini.

Di PULAU PINANG, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Mohd. Norhiesam Ismail berkata, jika keadaan itu berterusan, tidak mustahil gelombang kebangkitan rak­yat akan berlaku sekali lagi.

“Jangan sentuh atau cuba bermain api dalam isu-isu sensitif seperti ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis bersama 20 ahli UMNO dan NGO di Nibong Tebal.

Di PERAK, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Timur mengecam tindakan bia­dab dan tidak bertanggungjawab Waytha Moorthy apabila melakukan pembohongan besar menerusi satu temu bual di luar negara yang tular dalam media sosial.

Ketuanya, Muhammad Najib Abd. Rahman berkata, ke­nyataan itu bukan sahaja berniat jahat malah merupakan fitnah terbesar apabila menggambarkan negara ini melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang melampau.

Di JOHOR, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tebrau, Fauzi Faizal yang membuat laporan polis di Balai Polis Taman Pelangi Indah, Johor Bahru mendesak Waytha Moorthy bertanggungjawab atas perbuatannya itu dan meletakkan jawatan sebagai Menteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN