Warung Buku pupuk minat membaca - Utusan Malaysia

Warung Buku pupuk minat membaca

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK 22 Nov. – Suasana di Kompleks Pasar Tani Kekal Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Bukit Gambir di sini sangat berbeza pada awal bulan ini kerana menjadi tum­puan dengan kunjungan pelbagai peringkat umur.

Biasanya kompleks FAMA itu menjadi tempat suri rumah mendapatkan barangan basah tetapi keadaan pada hari itu berlainan daripada biasa.

Rupa-rupanya itu penangan program Warung Buku yang diadakan pertama kali pada 3 November lalu.

Program Warung Buku di Kompleks FAMA itu diadakan pada Sabtu setiap awal bulan minggu pertama mulai pukul 8 pagi hingga 12.30 tengah hari yang dianjurkan Karyawan Ledang dan Komuniti Buku Selatan dengan kerjasama pengurusan Kompleks FAMA tersebut.

Warung Buku berkonsepkan pamer dan jual pelbagai bahan bacaan lama seperti buku, majalah, novel dan komik lama yang tiada lagi di pasaran de­ngan harga berpatutan.

Pengerusi Karyawan Ledang, Mohd. Isnin Tawaf berkata, program itu bertujuan memberi peluang orang ramai khususnya pencinta buku di daerah ini dan kawasan berhampiran mendapatkan buku-buku lama sebagai koleksi mereka.

“Ini kali pertama kita per­kenalkan di daerah ini, mungkin ramai peminat buku-buku lama yang ingin mencari bahan bacaan kegemaran mereka untuk dijadikan koleksi atau ada yang ingin menjual bahan bacaan mereka yang tersimpan lama,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sempena program itu, Mohd. Isnin berkata, pihaknya menyelitkan acara mengenang penyair kelahiran Bukit Gambir iaitu Allahyarham Mohd Salim @ Pungot Saman yang menggunakan nama pena SM Salim dalam menghasilkan sajak sejak tahun 1950-an lagi.

Katanya, walaupun beliau sudah tiada, bagi menghargai sumbangan penulis itu yang menghasilkan beratus buah sajak dan tersiar dalam pelbagai penerbitan pihaknya menyediakan sudut kecil mempamerkan buku dan hasil karya beliau sempena Warung Buku itu.

“Selain menjual bahan bacaan lama dan baharu, diadakan juga acara mewarna melibatkan kanak-kanak di sekitar Bukit Gambir yang dikelolakan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Johor Cawangan Bukit Gambir.

“Kami bercadang mengadakan program sampingan lain seperti bacaan puisi, sesi ramah mesra bersama-sama penulis atau pelukis dan mengenang kembali karyawan kelahiran daerah ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN