PUTRAJAYA – Pencapaian yang ditunjukkan oleh warga institusi pendidikan tinggi (IPT) negara dalam memenuhi aspirasi pendidikan tinggi negara dilihat amat menggalakkan walaupun masih terdapat banyak ruang untuk diperbaiki.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pelbagai inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia ke arah penyediaan graduan yang holistik dan seimbang sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara telah dilaksanakan.
“Sistem pendidikan tinggi negara telah mendapat perhatian daripada organisasi dalam dan luar negara. Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) telah melantik Malaysia menjadi ahli Lembaga Eksekutifnya sehingga tahun 2019.
“Malaysia akan memainkan peranan dalam menyumbang idea dan amalan pendidikan serta meraih seberapa banyak pengalaman dari pelantikan itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Akademik Negara 2018 di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis tersebut isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.
Dalam pada itu, Mahathir berkata, kerajaan komited untuk menjadikan pendidikan berkualiti sebagai agenda utama negara dan inisiatif yang akan dilaksanakan ialah dengan mengiktiraf Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menekankan pendekatan kemahiran ke arah membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2050.
“TVET juga bakal melahirkan modal insan Malaysia yang seimbang dan tidak bergantung kepada tenaga asing berkelayakan di samping memastikan generasi masa depan Malaysia tahun 2050 terus terbina sebagai masyarakat berpengetahuan teknologi tinggi,” jelas beliau.
Pada majlis itu, Mahathir berkata, institusi pendidikan tinggi tempatan telah menyediakan kursus-kursus berteras industri berteknologi tinggi seperti automotif, aeroangkasa, rel, perkapalan, teknologi makanan, elektronik dan farmaseutikal.
“Ini akan melahirkan modal insan terlatih, profesional dan berkemahiran serta mengurangkan kebergantungan kepada kepakaran luar,” ujar beliau. – K! ONLINE










