Warga emas ditemui mati selepas hilang di ladang kelapa sawit - Utusan Malaysia

Warga emas ditemui mati selepas hilang di ladang kelapa sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT – Seorang warga emas ditemui maut selepas 24 jam hilang ketika menjalankan aktiviti menangkap burung dan ayam hutan di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Jaya Setia, Sungai Siput (Utara) di sini hari ini.

Mangsa yang berusia 69 tahun berasal dari Butterworth, Pulau Pinang itu ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 1.30 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Rozeni Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat awal daripada rakan mangsa dan anak saudaranya yang turut serta dalam aktiviti tersebut bermula pukul 9 pagi.

“Sebelum mangsa hilang, mereka bertiga telah berpecah dan memasuki kawasan yang berasingan di dalam kawasan ladang kelapa sawit bagi menangkap burung dan ayam hutan.

“Mereka telah berjanji akan kembali semula ke tempat letak motosikal pada pukul 1 tengah hari namun mangsa tidak muncul pada waktu yang dijanjikan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Menurut Rozeni, bimbang dengan keadaan mangsa, mereka berdua cuba menjejaki mangsa di lokasi dia menjalankan aktiviti berkenaan namun usaha mencari mangsa selama empat jam itu gagal menemui mangsa.

“Kedua-dua mereka kemudian membuat laporan di Balai Polis Simpang Jalong bagi mendapatkan bantuan mencari mangsa.

“Satu pasukan mencari dan menyelamat yang disertai polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan orang kampung diwujudkan serta merta,” katanya.

Jelasnya, mangsa ditemui kira-kira 500 meter dari lokasi dia meletakkan motosikalnya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×