Wajarkah hukuman mati dihapus? - Utusan Malaysia

Wajarkah hukuman mati dihapus?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Malaysia sekali lagi mendapat perhatian dunia apabila kerajaan mengumumkan cadangan menghapuskan hukuman mati daripada kerangka undang-undang negara. Kerajaan dilihat begitu serius dan bukan menawarkan retorik semata-mata memandangkan kerajaan telah meletakkan moratorium terhadap semua hukuman mati yang akan dijalankan.

Langkah penghapusan ini sewajarnya diberi perhatian khusus oleh ahli-ahli Parlimen serta rakyat Malaysia. Jika kita memilih untuk menghapuskan hukuman ini, ia tidak boleh dikembalikan semula sewenang-wenangnya.

Bagi memahami isu ini, adalah penting untuk kita memahami asas undang-undang Islam. Sumber utama perundangan Islam seperti yang disepakati oleh para ulama’adalah daripada al-Quran dan Sunnah. Bagi peraturan dan hukuman, al-Quran telah menggariskan dua bentuk hukuman yang dikategorikan sebagai Hudud dan Qisas. Hudud adalah bentuk hukuman yang dinyatakan secara terang dan jelas dalam al-Quran iaitu antara hukumannya adalah potong tangan dan rejam.

Antara negara yang melaksanakan Hudud adalah Iran, Arab Saudi dan Acheh, Indonesia. Walaupun begitu, Hudud sering kali dikaitkan dengan kekejaman serta pelanggaran hak asasi manusia sebaliknya prinsip sebenar Hudud adalah bersifat memaafkan dan mengutamakan belas ihsan. Hudud yang dilaksanakan pada zaman Rasulullah SAW bergantung kepada konteks sosial ketika itu, serta disulami dengan sifat pemaaf serta belas ihsan Rasulullah.

Hukuman Hudud dianggap sebagai jalan penyelesaian terakhir terhadap sesuatu kesalahan. Qisas pula adalah sejenis hukuman yang memerlukan pentafsiran oleh pihak berkuasa dan memberi kelonggaran kepada penguasa di tempat atau negara tersebut untuk melaksanakannya mengikut kesesuaian sebagai pembalasan dan langkah pencegahan. Nas al-Quran yang membenarkan hukuman Qisas dijalankan dipetik daripada Surah Al-An’am seperti berikut;

Janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar”. Demikian itu yang diperintahkan kepadamu supaya kamu memahami(nya). (Surah Al -An’am, Ayat 151)

Di kebanyakan negara Islam, hukuman mati dilaksanakan terhadap dua kesalahan utama iaitu kesalahan membunuh dan kemungkaran. Tafsiran kemungkaran pula bergantung kepada pihak berkuasa. Sebahagian pendapat menyatakan kemungkaran yang dimaksudkan termasuklah rogol dan perbuatan khianat.

Tafsiran berbeza ini malangnya telah menyebabkan perselisihan dalam kalangan ilmuwan dan ulama. Di Malaysia, hukuman mati diperuntukkan dalam perundangan melalui akta yang digubal oleh Parlimen seperti Akta Senjata Api 1971, Kanun Keseksaan dan Akta Dadah Berbahaya 1959.

Antara kesalahan yang membawa hukuman mati adalah mengedar dadah, memiliki senjata api, percubaan memerangi Yang Di-Pertuan Agong dan keganasan. Undang-undang negeri seperti Enakmen Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah Kelantan juga memperuntukkan hukuman mati bagi kesalahan zina dan pembunuhan dengan niat.

Walau bagaimanapun, Mahkamah Syariah di Malaysia tertakluk kepada ketetapan di bawah Akta Mahkamah Syariah (Jenayah) 1965 yang mengehadkan hukuman kesalahan Syariah kepada 3 tahun penjara, RM5000 denda dan enam kali sebatan.

Justeru, hukuman mati yang telah diperuntukan di Kelantan tidak boleh dikuatkuasakan dan secara teknikalnya tidak terpakai. Oleh kerana itu, hukuman mati di Malaysia yang terpakai adalah hanya berasaskan undang-undang sivil dan bukannya daripada undang-undang Syariah.

Pasca tahun 2000 melihat banyak negara mula mengambil langkah untuk menghapuskan hukuman mati. Sehingga kini, terdapat 47 negara telah menandatangani European Convention on Human Rights – sebuah konvensyen hak asasi manusia di Eropah yang antaranya mensyaratkan setiap ahli untuk menghapuskan hukuman mati di negara mereka dan menjangkau lebih daripada itu.

Mereka tidak dibenarkan untuk mengekstradisi pesalah jenayah ke mana-mana negara yang berpotensi untuk menjatuhkan hukuman mati terhadap pesalah tersebut.

Hanya tinggal 63 negara yang masih belum menghapuskan hukuman mati manakala terdapat tujuh negara mengambil jalan tengah dengan menghapuskan hukuman mati untuk kesalahan kecil dan mengekalkan hukuman tersebut bagi kesalahan serius iaitu seperti pengkhianatan negara dan pembunuhan kejam.

Komuniti dunia berpendapat bahawa hukuman mati perlu dihapuskan atas pelbagai sebab. Hukuman mati secara asalnya dijalankan untuk memberi balasan setimpal kepada pesalah dan juga sebagai suatu langkah pencegahan agar rakyat tidak melakukan jenayah – antaranya jenayah membunuh dan menyebabkan kacau bilau. Walau bagaimanapun, kemajuan perlindungan hak asasi manusia mengubah keadaan ini.

Setimpal

Pertama, mereka percaya bahawa ia bukanlah hak sesebuah negara, ataupun hak sesiapa sahaja untuk mencabut nyawa manusia sebagai suatu bentuk hukuman. Hak untuk hidup adalah sebahagian daripada hak asasi manusia dan tiada sesiapa yang layak diberikan kuasa untuk menarik hak tersebut atas apa jua alasan.

Kedua, tidak kira seadil mana sesebuah institusi kehakiman, institusi tersebut terdedah kepada kemungkinan untuk terkhilaf. Banyak kejadian yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) di mana kekhilafan disedari setelah hukuman mati dijalankan.

Dalam situasi ini, tiada peluang ataupun ruang yang ada untuk memperbetulkan kekhilafan tersebut. Justeru, kebanyakan negara berpendirian untuk mengelak daripada mengambil sebarang risiko kekhilafan.

Ketiga, hukuman mati tidak lagi dianggap sebagai sebuah langkah pencegahan yang berkesan untuk mencegah pesalah daripada melakukan jenayah. Kadar jenayah di negara-negara yang mempunyai hukuman mati tidak menurun sebaliknya terus meningkat saban tahun terutamanya jenayah yang melibatkan pengedaran dadah dan pembunuhan.

Menurut sebuah kajian yang dijalankan Death Penalty Information Center di AS, kajian tersebut mendapati hukuman mati tidak mampu mencegah jenayah dan 57 peratus daripada Ketua Polis berpendapat penjenayah tidak memikirkan akibat serta kesan perlakuan jenayah.

Keinginan naluri untuk melakukan jenayah mengatasi sebarang pemikiran rasional terhadap kesan dan akibat perlakuan itu. Kajian tersebut juga mencadangkan langkah-langkah lain untuk pencegahan jenayah dan keganasan termasuklah menyediakan latihan dan kelengkapan untuk pasukan polis, memperbanyakkan anggota dan penyertaan daripada sesebuah komuniti itu sendiri.

Perbezaan pendapat dan pendekatan terhadap hukuman mati ini wajar diberi perhatian serius. Saya percaya Malaysia harus bergerak ke hadapan dari sudut perundangan seiring dengan negara-negara maju. Malaysia perlu mengambil pendekatan progresif dan sentiasa mengutamakan hak asasi manusia sebagai asas pembinaan negara ini.

Sehubungan dengan itu, kita perlu maju ke hadapan, bukan kerana sekadar menuruti nilai hak asasi manusia yang diperjuangkan oleh Barat tetapi bergerak atas prinsip undang-undang dan keadilan. Jenayah adalah jenayah justeru penjenayah harus diberikan hukuman yang setimpal.

Prinsip Islam iaitu Qisas dan pembalasan setimpal perlu ditegakkan. Hukuman mati kepada pembunuh kekal relevan kerana hatta kita perlu bersikap adil terhadap penjenayah, tetapi hak keadilan yang lebih tinggi perlu diberikan terhadap mangsa jenayah tersebut. Hak mangsa pembunuhan kejam seolah-olah dirobek jika pembunuh menerima hukuman yang tidak setimpal. Haruskah kita membiarkan pembunuh kejam bayi 11 bulan tempoh hari terus hidup dan berpotensi untuk mengulanginya lagi?

Sebagai alternatif kepada penghapusan hukuman mati secara mutlak, kerajaan wajar mempertimbangkan untuk mengekalkan hukuman ini bagi jenayah berat seperti pembunuhan kejam. Sebagai pembalasan dan langkah pencegahan, hukuman mati tetap berkesan. Hukuman mati adalah sesuai dan setimpal untuk mencegah jenayah pembunuhan kejam.

Terdapat beberapa negara yang mengambil pendekatan ini yang dianggap sebagai jalan tengah kepada bentuk hukuman yang lebih progresif. Institusi kehakiman perlu memainkan peranan penting dalam memastikan hukuman ini berkesan. Di samping itu, jenayah-jenayah lain yang kini diperuntukkan hukuman mati hendaklah digantikan dengan hukuman penjara sepanjang hayat tanpa sebarang peluang pengampunan.

Kebanyakan pesalah kini yang menerima hukuman penjara seumur hidup berpeluang untuk bebas setelah dipenjarakan selama 25-30 tahun melalui pengampunan daripada Yang Di-Pertuan Agong ataupun Sultan di negeri masing-masing. Penghapusan peluang pengampunan ini akan menjadi suatu langkah pencegahan yang setanding dengan hukuman mati.

Melalui langkah ini, kadar hukuman mati yang dijalankan akan dapat dikurangkan secara serta merta. Dalam era Malaysia baharu, adalah menjadi harapan agar sebarang pembaharuan dan perubahan tidak dijalankan secara tergesa-gesa. Penghapusan hukuman mati tidak sepatutnya dilakukan sebagai tanda akur terhadap tekanan kuasa asing tetapi demi menegakkan prinsip-prinsip yang tercatat di dalam perlembagaan negara.

Kita terbuka kepada reformasi undang-undang dan sebagai rakyat Malaysia, saya percaya bahawa bahawa prinsip keadilan dan hak perlu dipertahankan selama-lamanya.

PENULIS adalah Senator 
di Dewan Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×