[VIDEO] Tawar pinjaman tidak wujud, 21 orang ditahan - Utusan Malaysia

[VIDEO] Tawar pinjaman tidak wujud, 21 orang ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Nov.- Polis menahan 21 ahli sindiket pinjaman tidak wujud dalam serbuan di sembilan premis di sekitar Kajang pada 13 November lalu.

Kesemua suspek berusia 17 hingga 27 tahun itu ditahan di sebuah rumah teres di Kajang dan lapan premis kondominium di Batu 9, Cheras dekat sini.

Serbuan dilakukan pada pukul 2.30 petang hingga 9.30 malam itu dijalankan oleh sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan JSJK Selangor.

Timbalan Pengarah (Siasatan) JSJK Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, suspek menawarkan pinjaman tidak wujud melalui laman web yang mengiklankan kegiatan tersebut.

Menurutnya, mangsa akan mengisi maklumat peribadi di laman web berkenaan dan kemudian suspek akan menghubungi mangsa melalui aplikasi WhatsApp bagi urusan pinjaman.

“Sebelum memberikan wang, suspek meminta mangsa membuat beberapa bayaran kononnya untuk proses pinjaman namun setelah dibayar, suspek kemudian menghilangkan diri.

“Hasil siasatan mendapati, sindiket ini telah beroperasi sejak Ogos lalu dan 32 mangsa dari seluruh negeri kecuali di utara telah terpedaya,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini hari ini.

Tambah Saiful, dalam serbuan di sebuah premis kondominium, pihaknya turut menemukan pelbagai jenis dadah bernilai RM337,245.

Katanya, dadah-dadah tersebut mempunyai kaitan dengan sindiket terbabit namun pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN