KUALA LUMPUR 22 Nov. – Sebuah syarikat kontraktor pembersihan yang telah menyebabkan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum mencuci tandas di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Julai lalu kerana lewat membayar gaji kepada pekerjanya sehingga berlaku mogok akhirnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 12 pertuduhan.
Pengarah syarikat Perfect Three Corporation Sdn. Bhd., Mohd. Husaini Mohd. Zin, 37, selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Wong Chai Sia atas kesemua pertuduhan yang didakwa dilakukan di No. 3-G, Jalan Orkid 9, Taman Orkid, Cheras di sini pada pukul 10.05 pagi, 30 Julai 2018.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, OKS sebagai majikan didakwa telah gagal mematuhi tempoh pembayaran gaji pada Jun lalu dan gagal menyediakan kontrak secara bertulis kepada dua pekerja warga Indonesia iaitu Sudarmaji, 37, dan Jumyati, 43 serta didakwa gagal mendapatkan kebenaran ketua pengarah untuk menyimpan daftar pekerja-pekerja itu di ibu pejabat syarikatnya.
Pertuduhan ketujuh hingga ke-10, dia didakwa gagal memberikan salinan penyata gaji bagi Jun lalu kepada Sudarmaji dan Jumyati serta didakwa membuat bayaran gaji bulan itu kepada kedua-dua pekerja tersebut secara tunai tanpa kebenaran bertulis daripada mereka.
Lelaki itu turut didakwa bagi pertuduhan ke-11 dan ke-12 iaitu gagal membayar gaji pokok minimum sebagaimana yang ditetapkan dalam Perintah Gaji Minimum 2016 iaitu sebanyak RM1,000 bagi Mei lalu kepada kedua-dua pekerja waga asing itu.
Bagi pertuduhan-pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 19(1) Akta Kerja 1955 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 99A akta sama dan Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap pekerja.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Jabatan Tenaga Kerja Wilayah Persekutuan, Norhaslynda Ab. Razak manakala Mohd. Husaini tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 19 Disember ini untuk sebutan kes.
Pada 29 Julai lalu, akhbar melaporkan kira-kira 200 kakitangan, pegawai dan hakim di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini menjalankan gotong royong membersihkan kompleks berkenaan susulan kira-kira 120 pekerja pembersihan di kompleks itu melancarkan mogok kerana syarikat tersebut tidak membayar gaji kepada mereka. – UTUSAN ONLINE










