[VIDEO] Singkir Moorthy dari Kabinet - Utusan Malaysia

[VIDEO] Singkir Moorthy dari Kabinet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Beberapa pertubuhan bu­kan kerajaan (NGO), parti politik dan individu meneruskan bantahan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy supaya tindakan tegas diambil terhadap pemimpin itu.

Di Kuala Lumpur, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wi­layah Persekutuan, Moha­med Nizham Abdullah Hamidi berkata, usaha Waytha Moorthy meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) juga perlu diambil tindakan segera oleh kerajaan.

“Waytha Moorthy telah mem­burukkan nama Malaysia di luar negara menerusi video yang tersebar dalam laman sosial dan perkara itu membuka laluan pihak luar mengambil kesempatan terhadap negara.


Video Oleh FADZLY IZAB

“Isu perkauman dan usaha meratifikasi ICERD yang dibawa adalah sesuatu yang sangat jelik,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.

Di Negeri Sembilan, Lebih 20 ahli Puteri UMNO Bahagian Tampin dan Wanita UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas membuat laporan polis terhadap Waytha Moorthy me­ngenai isu yang sama.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Tampin, Nor Fariza Rahim berkata, sehingga kini, Waytha Moorthy tidak pernah menarik balik kenyataan dan tohmahan jahat yang dilemparkan melalui video berdurasi dua minit 39 saat itu.

Di Melaka, UMNO dan Pas turut sama membuat laporan polis dengan diketuai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan disertai Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Melaka, Wan Zahidi Wan Ismail serta Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Melaka, Mohd. Khoushaini Mohd. Naim.

Menurut Mohamad Ali, pihak berkuasa diminta mengambil tindakan segera terhadap menteri itu kerana keterlaluannya boleh menyebabkan berlaku per­pecahan kaum serta pergaduhan di negara ini.

Di Johor, Timbalan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Labis, Irwan Jaafar mendesak pihak berkuasa menyiasat Waytha Moorthy di bawah Akta Hasutan 1948 dan menuntut satu tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Di Terengganu, sebanyak 12 laporan polis dibuat oleh NGO, UMNO dan dua individu di Kemaman terhadap Waytha Moorty dan mahu menteri itu tidak lagi diberi peranan dalam kerajaan kerana akan memburukkan masalah perpaduan di antara kaum.

Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Mohd. Fadini Rahim berkata, sehingga kini menteri itu tidak pernah menarik balik kenyataannya walaupun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×