[VIDEO] Sindiket kaut RM50,000 sehari - Utusan Malaysia

[VIDEO] Sindiket kaut RM50,000 sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Nov. – Kaut keuntungan mencecah RM50,000 sehari dengan menawarkan pinjaman tidak wujud.

Video oleh NURAINA HANIS ABD. HALIM
Itu yang dilakukan satu sindiket yang didalangi 21 warga tempatan dipercayai telah memperdaya mangsa di Semenanjung kecuali negeri di bahagian utara.

Bagaimanapun, kegiatan sindiket itu terbongkar apabila kesemua suspek berusia 17 hingga 27 tahun itu, yang terdiri daripada 16 lelaki dan lima wanita, ditahan dalam serbuan di sebuah rumah teres di Kajang dekat sini dan lapan premis di sebuah kondominium di Batu 9, Cheras pada 13 November lalu.

Serbuan dilakukan pada pukul 2.30 petang hingga 9.30 malam itu dijalankan oleh sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan JSJK Selangor.

Timbalan Pengarah (Siasatan) JSJK Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, suspek menawarkan pinjaman tidak wujud dengan mengiklankan perkhidmatan itu di laman web dengan me­nyasarkan mangsa yang ingin membuat pinjaman peribadi.

Menurut beliau, mangsa akan mengisi maklumat peri­badi di laman web berkenaan dan ahli sindiket kemudian menghubungi mangsa melalui aplikasi WhatsApp bagi urusan pinjaman.

“Mangsa yang ingin memohon pinjaman diarahkan membuat pembayaran caj dokumen perjanjian pinjaman beserta cop Lembaga Hasil Dalam Negeri berdasarkan amaun pinjaman yang dimohon.

“Bagaimanapun, sebelum meminjamkan wang, suspek meminta mangsa membuat beberapa bayaran kononnya untuk proses pinjaman namun setelah dibayar, suspek kemudian menghilangkan diri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Saiful Azly memberitahu, hasil siasatan mendapati, sindiket itu beroperasi sejak Ogos lalu dan sebanyak 32 laporan telah diterima dengan kerugian RM434,486.

“Kami percaya kesemua suspek berperanan sebagai operator bagi berurusan de­ngan mangsa,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN