[VIDEO] Sembilan individu akan diambil keterangan - Utusan Malaysia

[VIDEO] Sembilan individu akan diambil keterangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Nov.- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil sembilan individu termasuk Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berhubung kenyataan yang menyentuh sentimen perkauman dan sentiviti keagamaan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, turut dipanggil adalah Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah; Pengerusi Gabungan 3, Ravinder Singh; Timbalan Pengerusi Gabungan 3, Amran Ahmad; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanah Rata, Chiong Yoke Kong; Adun Tras, Chow Yu Hui, Lau Shan Thean dan Edi Rejang.

Menurut beliau, pihaknya telah menerima sebanyak 160 laporan polis dari seluruh negara membabitkan sembilan individu berkenaan sejak dua minggu lalu bagi menggesa PDRM mengambil tindakan terperinci berhubung perkara tersebut.

“Kesemua individu itu akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis dalam masa terdekat ini.

“Keterangan mereka diperlukan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan (KK) kerana sengaja mengaibkan dengan niat memecahkan keamanan, Seksyen 505 KK kerana kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan Seksyen 506 KK kerana menggungut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Tambah Noor Rashid, pihaknya memandang serius berhubung perkara ini kerana dilihat menimbulkan kegelisahan dan kegusaran orang ramai.

“Kita menghormati hak kebebasan bersuara namun ia perlu diamalkan dengan tanggungjawab serta mengikut batasan undang-undang.

“Masyarakat juga dinasihatkan untuk tidak mudah terpengaruh dengan kenyataan yang ditularkan serta hasutan mana-mana pihak yang boleh menjejaskan perpaduan serta keselamatan negara.,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN