KUALA LUMPUR 19 Nov. – Seorang maut dan empat cedera parah selepas dilanggar pemandu pacuan empat roda yang dipercayai mabuk ketika mereka sedang menikmati makan malam di kaki lima sebuah restoran di Taman Equine, Seri Kembangan dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, suspek berusia lingkungan 20-an yang bekerja sebagai buruh itu ditahan pada pukul 1.43 pagi ini di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang selepas diserahkan oleh majikannya.
“Suspek diserahkan oleh majikannya selepas pihak polis mengesan pemilik kenderaan jenis Isuzu Dmax yang terlibat dalam kejadian itu. Hasil siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai lesen memandu dan dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.
“Kita telah menjalankan ujian alkohol terhadap suspek dan masih menunggu keputusan laporan kimia. Hasil semakan juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Susulan itu, lelaki tersebut direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara sehingga 12 bulan.
Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Hairol Azhar Mohd. Ishak selepas suspek yang memakai baju lokap berwarna jingga tiba di mahkamah pada pukul 11.25 pagi dengan diiringi anggota polis.
Polis menahan suspek pada pukul 1.43 pagi ini susulan penemuan kenderaannya yang ditinggalkan di tepi jalan di Taman Universiti Indah dekat sini beberapa jam selepas kejadian itu.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 8 malam semalam, seorang wanita berusia 57 tahun maut, manakala empat lagi cedera akibat dirempuh kenderaan jenis Isuzu Dmax.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Wong Sow Lin, manakala tiga lagi yang cedera menerima rawatan di Hospital Serdang dekat sini.










