KUALA LUMPUR 21 Nov. – Identiti lima suspek yang ditembak mati dalam kejadian samun kedai barangan kemas di sebuah pasar raya di Jalan Kuchai Lama petang semalam akan diketahui esok.
Video oleh NURIN WAHIDAH MOHD. KHALID
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, proses pengecaman suspek akan dilakukan menggunakan kaedah cap jari di Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya.
“Besar kemungkinan (identiti supek) diketahui esok. Selepas mengambil cap jari mereka nanti baru akan tahu mereka ini mempunyai rekod jenayah lampau atau tidak.
“Suspek yang ditahan pula berasal dari Telok Panglima Garang, Selangor dan dia mempunyai rekod jenayah di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) di Terengganu,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyertai Program Kepolisan Berprofil Tinggi di sebuah pusat beli belah di Wangsa Maju, di sini hari ini.
Mazlan menjelaskan, suspek yang ditahan akan reman selama empat hari bermula hari ini mengikut Seksyen 3(1) Akta Senjata Api.
Utusan Malaysia melaporkan cubaan enam lelaki tempatan untuk merompak kedai emas di sebuah pasar raya di Kuchai Lama gagal selepas lima daripada mereka ditembak mati manakala seorang lagi berjaya ditahan polis.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.45 petang itu, kesemua perompak sempat menyamun kedai emas sebelum berbalas tembakan dengan polis ketika keluar dari pasar raya tersebut. – UTUSAN ONLINE











