KAJANG 26 Nov. – Kelicikan sindiket yang menjadikan kilang baja sebagai makmal memproses dadah jenis syabu terbongkar selepas pihak polis merampas dadah bernilai RM3.55 juta dalam serbuan di Kawasan Perindustrian Hi Tech 5 di Semenyih di sini pada Rabu lalu.
Video oleh NURFARAHIN HUSSIN
Lebih mengejutkan, empat daripada sembilan suspek berusia antara 27 dan 51 tahun yang ditahan dalam serbuan ke atas makmal dadah terbesar di Selangor itu merupakan anggota polis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, operasi pada pukul 5 pagi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kajang itu dibuat hasil risikan dan maklumat orang awam.
Menurutnya, dalam serbuan tersebut, pihaknya telah merampas satu kilogram (kg) syabu dan 174kg minyak syabu yang dianggarkan boleh menghasilkan 70kg syabu dalam bentuk kristal.
“Selain itu, kita juga menyita dua buah kereta, sebuah lori, wang tunai RM105,500 dan wang dalam akaun sebanyak RM229,955, sekali gus menjadikan nilai sitaan berjumlah RM456,455.
“Hasil siasatan, kita percaya sindiket ini telah beroperasi sejak setahun lalu dan dipercayai menghasilkan syabu untuk pasaran tempatan dan luar negara. Mereka memilih premis di kawasan industri bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.
Mazlan memberitahu, pihaknya menahan dua lelaki ketika serbuan sebelum berjaya menahan tiga lagi lelaki di kawasan tempat letak kereta di ibu negara pada pukul 4 petang hari yang sama.
“Siasatan lanjut membawa kepada penahanan empat anggota polis pada Jumaat dan Sabtu lalu oleh JSJN Bukit Aman. Kita masih siasat apakah anggota polis terbabit terlibat secara langsung dengan sindiket atau sebaliknya.
“Kesemua suspek ditahan reman tujuh hari sehingga Khamis ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah,” katanya, sambil menambah kata polis membongkar lima makmal dadah di Selangor sepanjang tahun ini.










