KUALA LUMPUR 22 Nov. – Kesabaran Izzmad Harun, anak kelahiran Teluk Intan, Perak untuk menempa nama sebagai penyanyi di persada seni tanah air amat mencabar dirinya terutama dari segi mental.

Tanpa mental yang kuat, mungkin langkah yang dimulakan sejak lima tahun yang lalu terhenti di tengah jalan bukan kerana dirinya tidak berpotensi sebagai penyanyi lelaki tetapi disebabkan oleh cakap-cakap negatif yang dihamburkan terhadap dirinya sehingga ke tahap merendah-rendahkan kemampuan beliau sebagai penyanyi muda.
Izzmad, 24, sebenarnya mempunyai personaliti yang menarik. Beliau juga berusaha dan bekerja keras untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada dalam melakar warna-warna di atas kanvas seninya.
Namun begitu, apabila beliau diasak bertubi-tubi dengan kata-kata cemuhan dan hinaan, Izzmad berkata, segala-galanya terpaksa dipendam dan ditelan kerana semata-mata ingin mencapai apa yang disasarkannya.
Walaupun Izzmad tidak mahu bercakap secara terbuka tentang kata-kata nista yang dihamburkan oleh segelintir manusia yang berada di sekelilingnya seperti “Izzmad suara tak sedap, tak boleh menyanyi dan tidak ada ‘wow factor’, beliau sama sekali tidak akan tunduk atau pun sempurnakan mulut-mulut yang mengata, mengeji dan menghinanya.
Mendengar segala kata-kata negatif sebegitu rupa, Izzmad mengukuhkan dirinya untuk berjalan terus bersama pengurusnya, IanzFaris bagi membuktikan bahawa selagi ada daya dan kerja keras, tiada yang mustahil di dunia seni.
Baru-baru ini, dalam Majlis Makan Malam #HenokHik #NilaiKasih sempena sambutan hari lahirnya di Kampung Orang Asli, Pengkalan Daun, Chenderong Balai, Tapah, Izzmad menangis sesungguh hati kerana beliau sedih apabila terkenangkan kata-kata hinaan dan cacian yang dilemparkan ke atas dirinya.
“Saya menerima cabaran dimaki, dicaci, dihina oleh mereka yang tidak pernah percaya kepadaa bakat yang ada pada diri saya. Akan tetapi saya tetap mahu melakukan yang terbaik bukan sahaja untuk menjadi seorang penyanyi tetapi juga seorang penghibur.

“Saya sedar sebagai pendatang baharu dalam bidang seni, banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dan disebabkan itulah, saya berusaha untuk meningkatkan diri saya dan sekali gus memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada.
“Saya rasa sedih dan terkilan apabila diri ini dikatakan tidak mampu untuk menjadi seorang penyanyi yang bagus. Saya dikatakan tidak boleh pergi jauh dalam bidang seni. Kenapa saya dikata begitu? Sedangkan pengurus saya berusaha menghantar saya ke kelas untuk menambah ilmu dalam bidang seni.
“Saya menangis bukan kerana saya lemah. Saya menangis bukan kerana saya kalah. Tetapi malam ini, saya menangis kerana segala perasaan bercampur baur dalam jiwa saya dan melihatkan sokongan yang diberikan kepada saya oleh keluarga, sahabat dan masyarakat orang asli di sini, saya menjadi kuat untuk berjuang atas landasan sebagai anak seni, penyanyi dan penghibur yang disegani suatu hari nanti,” kata Izzmad sambil mengesat air matanya.
Luahan Izzmad yang menjadi mangsa cakap-cakap belakang dinyatakan kepada wartawan Utusan Online yang menjadi satu-satunya media yang diundang untuk hadir meraikan Majlis Makan Malam sempena sambutan Hari Lahir Izzmad, ‘Henok Hik’ #Nilai Kasih Bersamaq ‘Hik Sengoi Asal’.
Umpama sebuah konsert terbuka, orang asli yang tinggal di Pengkalan Daun turun beramai-ramai untuk dihiburkan oleh Izzmad pada malam itu dan sama- sama menitiskan air mata apabila melihat penyanyi yang disayangi mereka, menangis.
Terharu dengan sambutan yang diterimanya, Izzmad berkata, nawaitu beliau menjadi penyanyi bukan kerana glamor tetapi atas dasar tanggung jawab untuk membantu keluarga dan adiknya yang terlalu istimewa, beliau cuba untuk menutup sebelah mata dan enggan mendengar lagi kata-kata cemuhan dan hinaan.
“Bersama pengurus saya, abg Ianz, saya berjalan terus. Saya tidak mahu menoleh ke belakang. Bahkan saya tahu, air mata yang mengalir ini, turut sama mengalir di pipi pengurus saya kerana dia berusaha bersungguh-sungguh untuk melihat nama Izzmad Harun ini besar dan gah dalam industri hiburan Malaysia.
“Maka itulah, ada ketikanya saya berkata kepada diri saya, Ya Allah. Aku buat ini tidak cukup betul atau baguskah lagi? Mungkin aku tidak sehebat artis baru nak up tetapi aku akan terus berusaha supaya aku setanding dengan penyanyi lain.
“Saya tahu kita perlu bersaing untuk menjadi yang terbaik dan masing-masing ada ilmu. Saya percaya, sokongan dan dorongan daripada keluarga, sahabat dan peminat akan terus membakar semangat saya untuk melakukan yang lebih baik.
“Izzmad Harun bukan penyanyi yang tidak ada kualiti pada vokalnya. Yang penting, saya terus berusaha dan bekerja keras.
“Insya-Allah saya percaya berkat doa keluarga, sahabat dan peminat kerana kasih sayang itu amat penting dan tidak boleh dijual beli. Suatu hari nanti, saya akan berjaya,” kata Izzmad yang juga merupakan Ikon Revolusi Usahawan.

Kata Izzmad, sokongan daripada semua media tidak pernah dibelakanginya kerana rakan-rakan media turut melunaskan tugas dan tanggungjawab mereka membantu dan memperkenalkan dirinya sebagai artis tanah air.
Untuk rekod, Izzmad telah melahirkan single termasuk Bulan Bintang, Nilai Kasih,Saat Kau Jauh, Selalu Di Jiwa, Inilah Cinta dan Bisa Pertama pula bakal dilancarkan secara eksklusif dalam waktu yang terdekat. – UTUSAN ONLINE










