NEW DELHI 22 Nov. – Kira-kira 300,000 rakyat India dijangka mengadakan perhimpunan pada minggu ini bagi mendesak sebuah kuil Hindu dibina di tapak Masjid Babri yang dimusnahkan pada 1992.
Kemusnahan masjid di Ayodhya di utara negeri Uttar Pradesh itu oleh kumpulan perusuh mencetuskan rusuhan ganas di seluruh negara, menyaksikan ribuan terbunuh kebanyakannya umat Islam.
Penganut Hindu percaya Masjid Babri dibina selepas kemusnahan sebuah kuil di lokasi sama yang menandakan tempat lahir tuhan mereka.
Dengan perbalahan undang-undang yang berlanjutan selama bertahun-tahun, kumpulan nasionalis sayap kanan, Vishwa Hindu Parishad (VHP) mahu Parlimen meluluskan undang-undang untuk pembinaan kuil.
Jurucakap kumpulan itu berkata, mereka menjangkakan 300,000 orang akan menghadiri tiga perhimpunan masing-masing di Ayodhya, Nagpur dan Bangalore pada Ahad ini. – AFP










