Van Dijk bawa Oranje ke separuh akhir - Utusan Malaysia

Van Dijk bawa Oranje ke separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GELSENKIRCHEN, Jerman Nov. – Virgil van Dijk muncul wira Belanda apabila jaringan penyamaannya pada minit terakhir permainan memastikan negaranya mara ke separuh akhir Liga Negara-negara Eropah selepas mengikat Jerman 2-2.

Kejayaan Belanda membawa pulang satu mata dari Gelsenkirchen sudah memadai untuk menempatkan mereka dalam kelompok empat terakhir dengan aksi yang cukup mendebarkan apabila kedua-dua gol tersebut dijaringkan dalam tempoh enam minit terakhir permainan.

Rembatan voli pemain pertahanan Liverpool, Van Dijk pada masa tambahan menyelamatkan pasukannya selepas Quincy Promes menjaringkan gol pertama Belanda pada minit ke-85.

Jerman sebelum itu mendahului 2-0 hanya dalam tempoh 20 minit pertama permainan menerusi jaringan Timo Werner dan Leroy Sane.

Van Dijk berkata, dia berasa bangga apabila melihat pasukannya menamatkan kempen dengan berada di tempat teratas Kumpulan 1, mengatasi dua gergasi Eropah iaitu Perancis dan Jerman.

“Kami sepatutnya berasa bangga dengan diri sendiri. Saya tahu diri saya. Kami bekerja keras untuk setiap perlawanan dan kejayaan ini pastinya membuatkan kami berasa menakjubkan,” katanya selepas Belanda menyertai England, Switzerland dan Portugal mara ke kelompok empat pasukan terakhir kejohanan.

Selepas gagal ke pusingan a­khir Kejohanan Eropah (Euro) dua tahun lalu dan Piala Dunia 2018, Van Dijk berkata ke­utamaan Belanda ketika ini adalah layak ke pusingan akhir Euro 2020.

“Jika kami boleh menjuarai Liga Negara-negara Eropah, itu pastinya hebat, namun kami perlu memastikan layak me­nyertai Euro dan beraksi de­ngan baik dalam kejohanan tersebut supaya penyokong berbangga de­ngan kami,” katanya lagi.

Dalam pada itu, jurulatih Oranje, Ronald Koeman menghamburkan pujian kepada anak-anak buahnya yang menyempurnakan dua daripada tiga peluang.

“Kami berada dalam situasi sukar, jentera serangan Jerman le­bih tajam dan pantas terutamanya pada babak pertama. Kami cuba bangkit pada 45 minit kedua dan memberi tekanan. Mereka ada peluang terbaik untuk mematikan perlawanan, namun sema­ngat juang yang dipamerkan sudah cukup untuk kami mengutip satu mata.

“Kami tidak bermain dengan baik dan ini bukan persembahan terbaik kami, namun cukup memadai. Tiada sesiapa pun menjangkakan Belanda akan menjuarai peringkat kumpulan. Sudah pasti kami tidak mahu turun ke Liga B, namun memenangi peringkat kumpulan sudah memenuhi impian,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN