KUALA LUMPUR 21 Nov. – Setelah menyedari peruntukan pembiayaan untuk usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dikurangkan dalam Belanjawan 2019, Kementerian Pembangunan Usahawan akan menggunakan pendekatan pemantauan dan pembangunan usahawan yang lebih cekap.
Menterinya, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata,ia akan menjadi penanda aras untuk kementerian bagi memerhatikan dan memantau setiap ringgit yang diperuntukkan untuk membantu usahawan berkenaan.
Katanya, ia menjadi pendekatan kementerian dalam memastikan RM100 juta yang diberi adalah untuk membangunkan usahawan, bukan sekadar untuk memberi bantuan kepada mereka.
“Dahulu, dalam sistem maklumat (kerajaan terdahulu) pun ada duit yang dikeluarkan, tetapi tidak membangunkan usahawan (Tekun). Ia dibelanjakan untuk apa sahaja bentuk.
“Kita lihat usahawan yang bayar balik bantuan dengan menggunakan pendapatan dari sumber harian mereka seperti menoreh getah untuk bayar bantuan kewangan, ia tidak membangunkan mereka. Jadi, selepas ini, apabila kita sebut urus dana yang sedikit, kita kena bersasar,” katanya bagi menjawab celahan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) dalam sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 dalam sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Khairy bertanyakan mengenai mengenai pengurangan peruntukan untuk usahawan-usahawan termasuk usahawan Tekun di bawah Belanjawan 2019 dan kesan-kesannya. -UTUSAN ONLINE










