Ummah sengsara kerana pemimpin tiada integriti - Utusan Malaysia

Ummah sengsara kerana pemimpin tiada integriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah masalah besar yang menyebabkan ummah menjadi sengsara ketika ini berpunca daripada ketiadaan integriti oleh pemimpin yang diamanahkan dengan kuasa.

Titah tuanku, masalah tersebut berpunca daripada krisis yang tercetus ekoran perebutan untuk membina kekayaan secara tidak luhur dan telus termasuk perebutan kuasa sebagai saluran untuk membina kekayaan diri, keluarga dan kroni.

“Pemimpin yang tidak amanah, pemimpin yang tidak berintegriti, akan mengakibatkan ummah berada dalam sengsara. Kemiskinan ummah akan menjadi lebih buruk apabila pemimpin lebih mengutamakan agenda membina kekayaan material dengan mengambil dan menidakkan hak ummah secara tidak adil dan melalui kaedah yang meragukan. 

“Akibatnya, berlaku ketirisan sumber, pembangunan yang tempang serta kadar pengangguran,  kadar jenayah dan rasuah yang tinggi yang menyebabkan ketenteraman awam terjejas, kestabilan politik tergugat dan ummah bertambah derita kerana terperangkap dalam putaran ganas penderitaan,” titahnya.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Saw Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antrabangsa Putrajaya di sini hari ini. 

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Perdana Menteri,Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa. 

Dalam pada itu, tuanku bertitah supaya setiap dasar atau perjanjian yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan perlu dibuat secara inklusif dan melibatkan semua pihak supaya segala keputusan melibatkan isu-isu sensitif dapat diselesaikan dengan baik. 

Titah Sultan Nazrin, Perjanjian Yathrib yang telah memperkenalkan doktrin dan menjadi gagasan jalinan kerjasama keamanan dan keselamatan bukan sahaja sesama Islam, antara Islam dan bukan Islam dalam sebuah negara malah merentasi antara negara yang berlainan agama. 

“Yang lebih penting ialah kesediaan menghormati dan menerima pakai piagam yang digubal. Piagam yang telah diterima pakai, perlu dipastikan memberi kesan dan memenuhi matlamat penggubalan, terus dihormati dan terus diyakini untuk terus didukung sepanjang masa. 

“Oleh itu, pada peringkat menggubal sesuatu perjanjian mahupun dasar, amatlah penting diamalkan sifat inklusif, dipastikan adanya partisipasi yang melibatkan penyertaan pelbagai pihak, mewakili pelbagai konstituen, terutama ketika menangani isu-isu sensitif, isu-isu kontroversi dan isu-isu yang menyentuh pendirian yang bertentangan. 

“Kerana itu Rasulullah mengamalkan budaya syura, untuk membolehkan pelbagai pandangan dan kelainan pendapat disuarakan, dihujahkan dan kemudiannya diterokai titik pertemuan,” titah tuanku. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN