Umat Islam bina akhlak, peribadi tinggi - Sultan Kedah - Utusan Malaysia

Umat Islam bina akhlak, peribadi tinggi – Sultan Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 20 Nov. – Umat Islam tanpa mengira pangkat dan darjat diseru supaya berusaha sedaya upaya untuk membina akhlak dan keperibadian tinggi sesuai dengan imej insan yang bergelar muslim.

Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, kebelakangan ini seringkali terlihat perilaku sumbang dan sikap umat yang terlalu jauh dari teladan ditunjukkan Rasulullah.

“Keadaan ini jika dibiarkan berterusan boleh memusnahkan tatasusila seorang muslim dan menjauhkan mereka dari nilai kesopanan yang murni.

“Ingatlah, kemuliaan dan penghormatan satu-satu bangsa atau umat adalah kerana tinggi akhlaknya,” titah baginda ketika merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff serta Raja Muda, Tengku Sarafudin Badlishah turut berangkat ke majlis tersebut dengan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan isteri, Tok Puan Norzieta Zakaria.

Baginda bertitah, dalam apa keadaan sekali pun, semua umat Islam seharusnya menunjukkan kesantunan tinggi seperti ditunjukkan Nabi Muhammad.

“Kesantunan bererti halus budi pekerti, lemah lembut serta penuh kesopanan. Ini merupakan manifestasi sifat belas kasihan terhadap orang lain, suka menolong dan tinggi budi bahasa yang tentunya bertepatan dengan rukun negara kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan.

“Amat malang buat sesiapa yang tidak mencontohi sifat dan keperibadian rasulullah kerana mereka umpama pengembara yang memiliki petunjuk, namun masih tersesat,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah, baginda merasa amat dukacita sekiranya ada dalam kalangan rakyat negeri ini yang terlibat dengan gejala keruntuhan akhlak seperti salah laku jenayah, penyalahgunaan dadah dan seks bebas.

“Kalangan ibu bapa perlu memainkan peranan penting dengan memberikan asuhan dan bimbingan terhadap tingkah laku anak masing-masing.

“Beta percaya nilai-nilai murni akan terbentuk dalam diri anak-anak sekiranya ibu bapa berperanan sebaiknya dengan menjadikan rasulullah sebagai contoh ikutan,” titah baginda.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN