BALIK PULAU 20 Nov. – Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Abdul Rahman Mohamed dipilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul peringkat negeri tahun ini.
Abdul Rahman yang juga Pengarah Sains di USM dipilih selepas mengambil kira sumbangannya secara keseluruhan terhadap umah terutama dalam bidang penyelidikan dan inovasi.
Selain Abdul Rahman, turut menerima anugerah pada majlis itu ialah Datuk Dr. Mustafa Kassim (Anugerah Qudwatur Rasul – Pendidikan) dan Khairol Fitri Kiraman (Anugerah Qudwatur Rasul – Kemasyarakatan).
Anugerah lain yang diberikan pada majlis yang berlangsung di Politeknik Balik Pulau itu ialah Anugerah Qudwatur Rasul (Keusahawanan) dan Anugerah Khas Qudwatur Rasul Khas yang masing-masing diterima pemilik rangkaian restoran Nasi Kandar Nasmir, Datuk Kadhar Abdul Razak dan Zaidi Salleh.
Pada masa sama, beberapa kontinjen terbaik dalam perarakan sempena Maulidur Rasul turut menerima penghargaan termasuk kontinjen daripada Jabatan Bomba dan Penyelamata Malaysia (JBPM) negeri.
Semua anugerah disampaikan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas. – UTUSAN ONLINE










