KOTA KINABALU – Tiga sekeluarga ditemukan rentung selepas rumah jenis tidak kekal didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Junkon, Menumbok, dekat Kuala Penyu awal pagi ini.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah dalam kenyataan berkata, mangsa yang rentung ialah Yamal Suhud, 80, isterinya Saadah Mumin, 70, serta anak lelaki mereka Ismail Yamal, 45.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi itu, pasukan bomba menjumpai dua mangsa di bahagian depan pintu utama dan seorang lagi ditemukan di dalam sebuah bilik di rumah terbabit.
Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Penyu dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 43 kilometer sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.20 pagi.
“Pasukan Bomba bertindak membuat pemadaman dan seterusnya memeriksa kawasan kebakaran bagi memastikan tiada unsur bahaya lain,” menurut pusat gerakan operasi itu.
Pasukan bomba menemukan mayat pertama pada 2.24 pagi disusuli penemuan mayat kedua pada pukul 2.34 pagi dan mayat terakhir pada pukul 4.30 pagi.
Operasi dilaporkan tamat pada pukul 6.13 pagi. – Bernama











