REMBAU – Lapan sekawan dari Sabah yang sedang bercuti di Kampung Orang Asli Pedas nyaris maut apabila sebuah chalet yang didiami mereka dirempuh sebuah lori yang terbabas, petang tadi.
Dalam kejadian pukul 3.45 petang itu, tiga penghuni lelaki cedera dan segera dihantar ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Chalet yang terletak di kaki bukit itu rosak teruk akibat rempuhan kuat lori tiga tan yang membawa muatan barangan lusuh.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Dzor Yusof berkata, seramai lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.50 petang.
“Kejadian mengakibatkan tiga penghuni chalet cedera ringan, manakala lima lagi penghuni lelaki tidak cedera. Dua lelaki yang menaiki lori juga tidak cedera.
“Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke hospital sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya. – K! ONLINE










