Tian Chua bebas sabitan, hukuman menghasut - Utusan Malaysia

Tian Chua bebas sabitan, hukuman menghasut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Nov. – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga bulan serta denda RM1,800 terhadap Naib Presiden PKR, Tian Chua kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, lima tahun lalu.

Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali memutuskan untuk melepas dan membebaskan bekas Ahli Parlimen Batu itu selepas membenarkan rayuannya.

Pada 28 September 2016, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM1,800 selepas didapati bersalah menyebut kata-kata menghasut bagi membangkitkan rakyat negara ini supaya mengubah kerajaan yang telah tertubuh mengikut undang-undang, dengan cara yang tidak sah dalam satu ceramah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Nombor 1, Jalan Maharajalela, Dang Wangi di sini antara pukul 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei 2013.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga lima tahun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN