Tiada rancangan gabung Felda, Felcra - Utusan Malaysia

Tiada rancangan gabung Felda, Felcra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Nov. – Tidak ada sebarang rancangan untuk menggabungkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Ta­nah Persekutuan (Felcra), kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata usa­ha untuk memulihkan Felda khususnya dalam pengu­rusan kewangan dan perla­dangan bakal dibuat berdasarkan laporan Kertas Putih yang akan dibentangkan di Parlimen.

“Kita akan me­ngambil tindakan yang sewajarnya untuk memulihkan Felda. Tidak ada cadang­an untuk ‘merge’ dengan Felcra,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

AZMIN ALI
AZMIN ALI 

Menurut laporan Edge Weekly, sekurang-kurangnya tiga cadangan dikemukakan bagi memulihkan Felda termasuk kemungkinan untuk menggabungkan Felda dan Felcra.

Semalam, Mohamed Azmin ketika ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke-13 berkata, kerajaan akan membentangkan Kertas Putih pe­ngurusan Felda pada bulan hadapan di Dewan Rakyat.

Katanya, pembentangan itu perlu dibuat berikutan masalah pengurusan lalu dan jumlah hutang melebihi RM8 bilion.

Kerajaan telah melantik firma audit bagi menjalankan audit forensik dan mengemukakan laporan penuh mengenai kepincangan pengurusan Felda.

Felda ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 untuk pembangunan tanah dan pe­nempatan semula dengan objektif pembasmian kemiskinan melalui penanaman tanaman minyak sawit dan getah.

Antara fungsi Felda adalah untuk melaksanakan projek-projek pembangunan tanah dan aktiviti pertanian, perindustrian dan komersial sosial ekonomi.

Felda turut mempunyai kepentingan dalam beberapa entiti korporat seperti koperasi Permodalan Felda (Koperasi Felda), FGV Holdings Berhad dan Felda Investment Corporation (FIC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN