BALIK PULAU 20 Nov. – Tidak ada sebarang keperluan untuk kerajaan negeri menggubal Perkara 11 (4) yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pihak yang cuba menyebarkan agama lain kepada umat Islam buat masa ini.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Politeknik Balik Pulau, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat negeri berkata, adalah lumrah apabila berlaku kes yang menarik perhatian umum seperti pengedaran Bible yang dilaporkan baru-baru ini, akan timbul pelbagai gesaan dan saranan terhadap kerajaan negeri untuk menyekat perkara tersebut daripada terus berleluasa.
“Saya fikir dalam keadaan di Pulau Pinang ketika ini, mungkin belum perlu lagi, (penggubalan undang-undang berkaitan larangan penyebaran agama lain kepada umat Islam).
“Apa yang penting ialah kita (kerajaan negeri) akan terus mempelopori program-program yang berkonsepkan ‘Rahmatan Lil Alamin’ selain menguatkan program-program bagi memperkasakan perpaduan antara kaum.
“Saya rasa lebih baik kita fokus perkara itu daripada mengkaji (dan menggubal) undang-undang berkaitan dan sebagainya. Tak perlu lagi buat masa ini,” kata beliau.
Semalam, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Salim Wan Salim Mohd. Noor dalam kenyataannya kepada Utusan Malaysia menyarankan kerajaan negeri menggubal undang-undang berkaitan kuasa yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan itu.
Tegas Wan Salim, ketiadaan enakmen bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pihak yang cuba menyebarkan agama lain kepada umat Islam itu menyukarkan tindakan penguatkuasaan dilakukan terutama dalam isu pengedaran Bible.- UTUSAN ONLINE










