Tiada keperluan berhimpun tolak ICERD - Utusan Malaysia

Tiada keperluan berhimpun tolak ICERD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Tiada keperluan untuk menganjurkan perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kerana kerajaan belum memutuskan untuk meratifikasi konvensyen itu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, hasrat untuk menganjurkan himpunan itu dilihat seolah-olah sengaja dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mahu mengapi-apikan keadaan dan mempolitikkan isu berkenaan.

“Saya hairan kenapa mereka mahu berhimpun kerana tiada orang yang tandatangan ICERD setakat ini. Lagi mereka kecoh, lagi menambahkan kekeliruan.

“Sebab kita nak tolak atau sokong sesuatu sebabnya mesti jelas. Jika golongan ini nak tolak ICERD tetapi orang tak faham apa sebab dia, memberikan gambaran yang kita ini mahu mengamalkan diskriminasi ras, sedangkan bukan begitu

“Kalau kita nak tolak, kena nyatakan kenapa, apa masalahnya, memang kita tidak setuju dengan diskrimasi ras tetapi di dalam itu ada perkara yang bercanggah dengan perlembagaan negara. Jadi, perlu dijelaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kempen Belilah Buatan Malaysia di stesen Transit Aliran Massa (MRT) Pasar Seni di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Pengurusan Tanah dan Komersial Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.), Datuk Haris Fadzilah Hassan dan Presiden Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya (GMB) Malaysia, Agil Faisal Ahmad Fadzil.

Dalam perkembangan sama, Khalid berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang permohonan penganjuran himpunan berkenaan yang dijadualkan berlangsung secara besar-besaran di Dataran Merdeka pada 8 Disember hadapan.

Sementara itu, beliau berkata, buat julung kalinya kempen Belilah Buatan Malaysia akan berlangsung selama dua tahun di stesen MRT Pasar Seni.

“Kempen ini merupakan platform terbaik kepada usahawan di negara ini untuk mempromosikan dan menjual produk masing-masing. Saya berterima kasih kepada pihak MRT Corp. kerana membuka ruang dan memberi sokongan secara berterusan kepada usahawan.” katanya.

Katanya, banyak ruang iklan boleh digunapakai bukan sekadar di stesen MRT, tetapi di dalam tren MRT bagi memperkenalkan produk tempatan yang berkualiti tinggi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×