PORT MORESBY, Papua New Guinea (PNG) – Para pemimpin dari 21 negara Asia Pasifik gagal merapatkan jurang perbezaan pada sebuah sidang kemuncak semalam yang dibayangi perang mulut antara Amerika Syarikat (AS) dan China ketika Washington serta Beijing berlumba memperkukuh pengaruh masing-masing di rantau berkenaan.
Buat kali pertama dalam sejarah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), para pemimpin blok berkenaan gagal mengeluarkan deklarasi bertulis berikutan perbezaan ketara mengenai dasar perdagangan.
“Para pemimpin bersetuju menyerahkan kepada PNG selaku pengerusi sidang kali ini untuk mengeluarkan kenyataan bagi mewakili semua anggota APEC,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Zhang Xiaolong.
Perhimpunan tahunan itu yang julung-julung kalinya diadakan di PNG, dibayangi ucapan Presiden China, Xi Jinping dan Naib Presiden AS, Mike Pence yang mahu mengukuhkan peranan Bejing dan Washington di rantau Asia Pasifik.
Pence memberi amaran terhadap negara-negara lebih kecil agar tidak terpesona dengan program infrastruktur, Jalur dan Laluan yang menyaksikan Beijing menawarkan wang kepada negara miskin bagi projek pembinaan serta pembangunan.
Pinjaman datang bersama syarat ketat yang mengakibatkan negara peminjam dibebani hutang bertimbun, kata Pence, malah beliau mempersenda inisiatif Beijing itu sebagai ‘jalur penjerut’ dan ‘jalan mati’.
Pence sebaliknya menggesa negara-negara dunia supaya kekal bersama AS yang tidak ‘melemaskan rakan dagangan kami di dalam lautan hutang’ atau menjejaskan kedaulatan penghutang.
Dalam ucapan beliau beberapa minit sebelum Pence, Jinping pula menegaskan bahawa inisiatif China itu bukan ‘satu perangkap’ dan tiada agenda tersembunyi.
Jinping juga membidas dasar perlindungan ‘Utamakan Amerika’ dengan menyatakan bahawa ia adalah pandangan singkat dan akan berakhir dengan kegagalan. – AFP











