KUALA LUMPUR 28 Nov. – Perbuatan terkutuk suami kepada pengasuh bayi berusia 11 bulan, Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal atau Zara yang mati didera fizikal dan seksual menerima balasan apabila dia dihukum penjara 20 tahun dan sebatan 12 kali oleh Mahkamah Sesyen Kajang dekat sini hari ini.
Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu selepas Hazmi Majid, 36, yang bekerja sebagai tukang gunting rambut mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa memasukkan jari ke dalam kemaluan dan dubur bayi perempuan itu di sebuah rumah di Apartmen Sri Cempaka, Jalan 6/3, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, dekat sini antara pada pukul 10.30 pagi dan 1.30 petang, 7 November lalu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebat.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 20 tahun dan sebatan enam kali bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 13 November lalu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan Zakaria memohon hukuman berat ke atas tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius melibatkan mangsa berumur 11 bulan yang tidak berdaya untuk mempertahankan diri sendiri.
“Tertuduh merupakan suami kepada pengasuh mangsa yang sepatutnya turut menjaga mangsa bukannya mengambil kesempatan ke atas mangsa. Kesalahan terhadap bayi dan kanak-kanak juga semakin menular dalam kalangan masyarakat hari ini,” katanya.
Hazmi yang tidak diwakili peguam pula merayu hukuman ringan atas alasan hanya dia yang bekerja untuk menanggung isteri dan tiga anak.
Pada 23 November lalu, Hazmi didakwa di Mahkamah Majistret Kajang atas pertuduhan membunuh bayi perempuan tersebut di tempat yang sama.
Media sebelum ini melaporkan, sepasang suami isteri ditahan selepas Zara meninggal dunia pada 9 November lalu setelah dua hari dilaporkan tenat dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuhnya.










