KUALA LUMPUR 21 Nov. – Dihentam ramai pihak saban hari, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy hari ini akhirnya meluahkan isi hati yang terbuku di akaun Facebook miliknya.
Dalam catatan tersebut, Waytha Moorthy menyatakan rasa terima kasih kepada rakyat Malaysia yang terus menyokong beliau dalam isu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia tidak mengira lapisan masyarakat, tidak mengira bangsa dan agama atas sokongan diberi kepada saya sejak beberapa hari lepas berhubung isu ICERD,” katanya.
Bagaimanapun, Waytha Moorthy merasakan tiada keperluan untuk mewujudkan petisyen supaya beliau terus kekal memegang jawatan menteri.
“Saya yakin rakyat Malaysia akan terus menyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menjanjikan Malaysia Baharu selepas 61 tahun di bawah pemerintah Barisan Nasional (BN).
“Saya juga komited untuk terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang dalam negara yang begitu dirahmati ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











