KUANTAN 20 Nov. – Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah khuatir sebarang pembaharuan dan perubahan kepada dasar sosial politik negara yang dilakukan tanpa kajian yang mendalam akan hanya mengundang mudarat yang tiada berkesudahan.
Tengku Abdullah menyatakan kebimbangan itu kerana titah baginda, hari ini, terdapat segelintir rakyat yang mahu mengubah landskap sosial politik negara melalui penerimaan dasar kesaksamaan fahaman barat.
“Dasar ini telah dirangka oleh orang asing yang tidak mengambil kira keunikan, kepelbagaian, kesucian agama Islam dan sensitiviti rakyat serta kedaulatan raja-raja Melayu.
“Negara kita Malaysia telah dibangun dan menempuh pelbagai cabaran dengan acuan kita yang tersendiri. Dasar kompromi sosial politik yang telah dipersetujui oleh semua kaum adalah tunjang kepada perpaduan dan keharmonian negara,” titah baginda ketika menyempurnakan majlis perasmian Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang di Masjid Sultan Ahmad 1 di sini hari ini.
Berkenan berangkat, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, Tengku Abdullah menyeru rakyat supaya mengelak pertelingkahan dan sentiasa hormat-menghormati serta menyantuni di antara satu sama lain tanpa mengira perbezaan agama serta kaum.
Ini kerana titah baginda, Malaysia dibina berdasarkan kepada persetujuan, persefahaman dan dasar kompromi sosial politik yang merupakan satu keunikan kepada negara ini.
Keunikan tersebut titah baginda, turut diperkenankan oleh raja-raja Melayu bagi membentuk sebuah negara merdeka dan perkara itu kemudian dinyatakan dengan jelas dalam pelbagai peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Bersempena sambutan Maulidur Rasul, baginda menyeru rakyat supaya memupuk kasih sayang mendalam dalam kehidupan seharian sebagaimana diajar dan ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
“Nasihat saya, ambillah iktibar dari sirah Rasulullah SAW yang sentiasa mempamerkan kepimpinan penuh dengan visi dan wawasan dalam setiap tindakan dan pembaharuan yang diperkenalkan baginda,” titah baginda.











