PULAU PINANG 19 Nov. – Taman Tema Escape di Teluk Bahang di sini yang dibuka kepada umum sejak enam tahun lalu, kini mempunyai tarikan baharu selaras dengan hasratnya untuk menjadi antara lokasi pelancongan bertaraf dunia.
Ketua Pegawai Escape, Sim Choo Kheng berkata, antara tarikan tersebut ialah kehadiran 10 penerjun luar dari Rusia, Brazil, Kanada, Belarus dan Ukraine untuk melakukan Persembahan Terjunan Tinggi Antarabangsa di platform berketinggian 25 meter.
Beliau berkata, uniknya, persembahan itu akan diadakan setiap hari kecuali pada hari Isnin dengan diselangi beberapa acara sampingan seperti terjunan pada ketinggian 10 meter dan terjunan papan gelongsor banana flip yang dibuka kepada pengunjung yang berminat.
“Ini antara kelainan yang cuba dibawa Escape dalam usaha kami untuk menarik kehadiran lebih ramai pengunjung terutamanya pelancong asing.
“Selain tarikan terbaharu ini, kami juga sedang menaik taraf beberapa kemudahan lain termasuk penginapan untuk pengunjung dengan menawarkan pakej lebih menarik selepas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Beliau ditemui pada perasmian Persembahan Terjunan Tinggi Antarabangsa yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian negeri, Yeoh Soon Hin.
Dalam pada itu, Soon Hin memuji langkah berani yang diambil Escape dalam usaha memperkasakan industri pelancongan di negeri ini.
“Saya difahamkan Escape mengambil masa sehingga lebih enam bulan untuk membawa dan mengumpulkan kesemua penerjun bertaraf antarabangsa ini untuk membuat persembahan secara tetap di sini.
“Saya pasti ini bukan satu usaha yang mudah,” katanya.
Menurutnya, ketika ini, Pulau Pinang memerlukan lebih banyak daya tarikan bertaraf antarabangsa untuk menarik perhatian pelancong asing berkunjung ke sini.
“Dalam hal ini, kerajaan negeri sentiasa menyokong dan menggalakkan sebarang aktiviti berkaitan pelancongan kerana secara tidak langsung mampu menjana ekonomi negeri,” katanya.










