Tangguh baik pulih Stadium Sultan Mizan - Utusan Malaysia

Tangguh baik pulih Stadium Sultan Mizan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS 22 Nov. – Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang pada awalnya menjadi simbol kebanggaan negeri ini akan kekal dengan ‘parut wajah’ tidak menyenangkan dalam jangka masa lebih lama dan te­rus berdepan dengan kekangan untuk berfungsi sepenuhnya setelah penggantian bumbung yang runtuh hampir terus tertangguh.

Kerajaan Pas yang mewarisi masalah ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu turut memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan fasa utama membaik pulih stadium pelbagai guna di Kompleks Sukan Negeri yang boleh menampung 50,000 penonton itu kerana berdepan dengan masalah kewangan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau nege­ri, Dr. Mamad Puteh berkata, projek tersebut akan diberi keutamaan apabila keadaan kewa­ngan kembali pulih kelak, namun tidak memberi baya­ngan bila kemungkinan boleh dilakukan dan anggaran kos.

Beliau yang ditanya pemberi­ta baru-baru ini turut menarik perhatian, ada beberapa pemaju mengemukakan cadangan reka bentuk bumbung termasuk dari Australia tetapi kerajaan nege­ri sehingga kini masih belum membuat sebarang keputusan.

“Kita mahu pastikan bumbung tersebut tahan dan kukuh untuk jangka masa panjang dan berfungsi dengan baik melin­dungi ruang ditutup dengan harga munasabah.

“Bagaimanapun, stadium itu akan tetap digunakan dari masa ke masa selagi projek belum dilaksanakan. Padang bola sepak stadium juga perlu diperbaiki segera,” katanya.

Stadium terbesar di Pantai Timur itu yang dirancang menjadi mercu tanda pembangunan sukan dibina dengan kos dikatakan mencecah hampir RM300 juta dirasmikan pada Mei 2008.

Ia menjadi lokasi temasya Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun itu yang menyaksikan Terengganu selaku tuan rumah bangkit sebagai kuasa baharu sukan negara sehingga kini mela­lui hasil program pemba­ngunan atletnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN