KUALA NERUS 19 Nov. – Tambahan lima ahli baharu dari Pakatan Harapan (PH) bagi memantapkan lagi fungsi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri ini kelak tidak menjejaskan barisan kepemimpinan sedia ada yang dilantik.
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setiap MPKK dengan 15 ahli kini sudah mempunyai pengerusi dan penyandang jawatan lain yang telah pun berperanan dalam masyarakat setempat.
Katanya, kerajaan negeri masih menunggu senarai nama tambahan ahli baharu daripada PH itu sambil mengharapkan proses tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin tanpa banyak masalah.
“Kita masih lagi menunggu senarai nama (tambahan lima ahli setiap MPKK). Sekarang masih belum selesai lagi, yang asas 15 ahli sudah selesai.
“Pengerusi yang sama, begitu juga jawatankuasa sama, cuma nak tambah bilangan ahli baharu. Kalau mereka hantar nama cepat maka cepatlah selesai,” katanya selepas merasmikan Program Kembali Ke Sekolah 2019 anjuran Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) di Mydin Mall Gong Badak, dekat sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Noor Fadzil Mohamed Nor.
Beliau diminta mengulas struktur keahlian jawatankuasa dalam MPKK berikutan keputusan Kerajaan Pusat sebelum ini untuk menambah lima ahli baharu di setiap entiti itu sebelum ini termasuk melibatkan 1,044 MPKK di Terengganu.
Ahmad Samsuri berkata, proses menyerap ahli tambahan itu perlu disegerakan agar gerak kerja untuk kepentingan masyarakat setempat tidak tergendala.
“Yang sedia ada seramai 15 ahli terdiri daripada pengerusi dan ahli jawatankuasa sedang jalankan tugas mereka, kita tak boleh tunggu siap 20 orang untuk mulakan kerja,” katanya.
Ditanya kemungkinan timbul konflik sekiranya berlaku tambahan keahlian baharu, beliau berkata, apa yang penting objektif penubuhan MPKK termasuk penambahan ahli baharu adalah bertujuan mewujudkan keharmonian dalam masyarakat setempat.










