Tabung bantuan untuk anak pemandu teksi - Utusan Malaysia

Tabung bantuan untuk anak pemandu teksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 19 Nov. – Kerajaan negeri akan melancarkan Tabung Bantuan Anak Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Negeri Johor pada tahun depan bagi meri­ngankan beban berikutan pendapatan mereka semakin berkura­ngan sejak kebelakangan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang berkata, tabung itu bertujuan akan mengumpulkan sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bertanggungjawab kepada semua golongan masyarakat dan tidak menyisihkan mana-mana golongan termasuk pemandu teksi.

“Sumbangan ini bukan datang daripada kerajaan, tetapi NGO dan masyarakat memandangkan sejak kebelakangan ini pendapatan pemandu teksi kurang de­ngan mendadak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melihat persiapan Projek Kasut Sekolah anjuran Persatuan Penduduk Perjiranan 11, Bandar Dato’ Onn di Pusat Komuniti Perjiranan 11 di sini kelmarin.

Mazlan berkata, biarpun ada yang mengecam pemandu teksi dalam media sosial, bukan semua pemandu melakukan kesalahan dan pihaknya tidak mahu kerana segelintir yang membuat masalah, semua pemandu dianggap sama.

“Kecaman dalam media sosial bukan alasan kerajaan menafikan hak bantuan kepada pemandu teksi kerana bagi kami, mereka juga sebagai duta kecil kita yang setiap hari bertemu masyarakat. Kita harap mereka dapat membawa perkara positif kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, borang permohonan tabung bantuan itu boleh dimuat turun di laman web rasmi Perbadanan Pe­ngangkutan Awam Johor (PAJ) iaitu www.paj.com.my atau mendapatkan terus secara manual di kaunter pejabat PAJ dan permohonan boleh dibuat hingga 30 November ini.

Antara syarat, pemohon mesti warga negara, tergolong dalam kelas teksi bajet, teksi eksekutif, teksi lapangan terbang dan kereta sewa serta memiliki kad pemandu teksi yang sah.

Pada masa sama, Mazlan menggesa semua pemandu teksi mendaftar dengan mana-mana persatuan teksi bagi memudahkan urusan komunikasi dalam menyampaikan sebarang maklumat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN