KUALA LUMPUR 21 Nov. – Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan bercadang untuk melonggarkan syarat kemasukan ke Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sebagai satu platform penggiat-penggiat seni terpinggir mendapatkan pendidikan tinggi secara formal.
Menterinya, Mohammadin Ketapi berkata, beliau kini dalam peringkat perbincangan dengan pegawai-pegawai Aswara berhubung perkara itu.
Malah, katanya, Aswara juga ada menyediakan laluan kemasukan program sijil kemahiran untuk golongan yang kurang dalam kelayakan akademik.
“Saya dalam perbincangan dengan pegawai-pegawai Aswara untuk mengiktirafkan penggiat-penggiat seni.
“Asalkan orang itu boleh main muzik, cuba-cubalah mohon masuk Aswara. Ini kerana main gitar dan segala muzik ini, asalkan dia pandai muzik, pandai kord, jadilah,” katanya sewaktu menjawab celahan Datin Mastura Mohd. Yazid (BN-Kuala Kangsar) dalam sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Mastura bertanyakan mengenai kewujudan penggiat-penggiat seni di negara ini yang tidak berpeluang mendapatkan pendidikan tinggi formal. – UTUSAN ONLINE










