Suspek lolos dari lokap mahkamah ditahan semula - Utusan Malaysia

Suspek lolos dari lokap mahkamah ditahan semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU 21 Nov. – Seorang suspek kes dadah yang melarikan diri dari lokap tahanan di Mahkamah Majistret di sini, Isnin lalu telah ditangkap semula di Tampin semalam.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Anuar Bakri Abdul Salam berkata, Mohamad Azrin Mohd. Danial, 29, ditahan pada pukul 9.15 malam ketika menyerahkan diri di Balai Polis Tampin.

Katanya, suspek yang berasal dari Felda Bukit Jalor, Air Kuning Selatan di Gemencheh, menyerah diri di Balai Polis Tampin malam semalam selepas 35 jam melarikan diri dari Mahkamah Majistret Rembau.

“Lelaki itu meloloskan diri pada pukul 10.30 pagi sebelum menaiki teksi dari mahkamah menuju ke rumahnya di Tampin,” katanya, di sini hari ini.

Dalam kejadian Isnin lalu, lelaki itu melarikan diri daripada bilik tahanan di Mahkamah Majistret Rembau semasa sedang menunggu giliran untuk didakwa.

Suspek bertindak demikian selepas namanya dipanggil sebanyak dua kali oleh jurubahasa mahkamah bagi menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan juga waran tangkap Seksyen 12(2) akta sama.

Mohamad Azrin sebelum ini ditahan di rumahnya pada 18 November lalu selepas dipercayai terlibat dalam kesalahan dadah.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 233 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN