Kita disaran melakukan solat sunat taubat setiap hari. Apakah ayat paling afdal dibaca selepas surah al-Fatihah?
– SHIMA, Bangi.
UKE: Mulianya anda sebab melakukan solat taubat setiap hari. Bukan semua orang mampu melakukannya dan semoga anda sentiasa dirahmati Allah. Bacalah surah yang anda betul-betul dapat membacanya dengan baik, fasih dan bertajwid dengan betul. Yang penting bacaannya betul. Antara surah yang selalu dibaca ialah pada rakaat pertama surah al-Kafirun dan pada rakaat kedua surah al-Ikhlas. Perbanyakkan istighfar dan memohon keampunan juga disuruh supaya taubat kita diterima oleh Allah di samping bertaubat dengan taubat nasuha.
Saya ada kemusykilan tentang bab niat solat. Saya tahu niat itu di dalam hati semasa kita lafazkan Allahu akbar. Tetapi saya tak dapat hendak keluarkan niat di hati yang terletak di dada. Niat saya keluar dari kepala iaitu ingatan daripada otak. Apakah solat saya diterima oleh Allah SWT?
– MANJA, Kuala Lumpur.
UKE: Apa yang susahnya untuk berniat solat dalam Mazhab Syafie? Mungkin anda kurang faham antara niat dan lafaz niat. Lafaz niat bukanlah syarat. Yang wajib ialah menentukan perbuatan iaitu bersolat, solat apa, fardu atau sunat dan sebagai makmum dalam solat berjemaah, dilakukan ketika takbiratul ihram.
Contohnya: “Sahaja aku solat fardu zuhur kerana Allah Taala.” Senang bukan? Yang menjadi susahnya apabila anda menyusun lafaz niat sehingga menyukarkan anda bertakbiratul ihram.Memadai dengan kita menyengajakan dalam hati amalan apa yang kita ingin laksanakan. Ada yang berpendapat jika susah nak masuk niat maka boleh bertaklid kepada mazhab lain seperti Mazhab Hanbali atau Hanafi dengan syarat anda mengetahui rukun dan syarat sah solat dalam mazhab-mazhab mereka.
Yang tidak mahu ialah dicampur macam-macam pendapat dan mazhab dalam satu-satu perkara dan harus diingat tiada ulama yang membenarkan amalan seperti itu. Ada orang yang mengambil Mazhab Syafie ketika wuduk tapi bab batal wuduk dia pakai Mazhab Hanafi pula. Mana boleh begitu. Itu carca-marba namanya.











