PETALING JAYA – Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan dua pihak lain berhubung kenyataan fitnah dalam buku The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose.
Peguam Datuk Mohd. Haaziq Pillay Abdullah yang mewakili permaisuri kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memberitahu, selain Claire, turut dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua dalam kes saman fitnah tersebut ialah penerbit buku tersebut, Gerakbudaya Enterprise dan pencetak Vinlin Press Sdn. Bhd.
Mohd. Haaziq berkata, anak guamnya mengambil keputusan untuk meneruskan tindakan saman itu berikutan kesemua pihak terlibat dalam isu tersebut gagal mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes tersebut.
“Dalam kes ini, pihak kami mendapat titah Sultanah Terengganu supaya meneruskan saman selepas melalui beberapa perbincangan hampir dua bulan namun tiada persetujuan dicapai untuk menyelesaikan isu tersebut.
“Sebelum ini, pihak kami mendapat tawaran penyelesaian berhubung isu tersebut bagaimanapun kedua-dua belah pihak kemudian tidak bersetuju dengan terma yang dikemukakan,” kata beliau pada sidang di sini selepas memfailkan saman fitnah itu menerusi sistem e-pemfailan semalam.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.










